PETALING JAYA: Pelakon, Sheila Mambo menegaskan kadar bayaran RM500 sehari untuk pelakon lama perlu dinilai semula berdasarkan jumlah babak dan lokasi penggambaran yang ditetapkan oleh pihak produksi.
Sheila atau Rusilawati Hasan, 63, berkata, bayaran dalam lingkungan tersebut adalah tidak wajar sekiranya pelakon dikerah untuk menyelesaikan jumlah babak yang terlalu banyak dari pagi hingga ke malam.
“Kalau harian awak bayar saya RM500, awak hantar sehingga 16 babak dari pagi sampai malam. Kalau awak bayar RM500, di mana? Di luar daerah atau kawasan setempat? Kena ambil kira semua itu.
“Saya rasa RM500 itu tidak wajar kerana kita bukan hidup di tahun 80-an. Paling kurang pun awak boleh berikan RM1,000 sehari tetapi bersesuaian dengan berapa babak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sheila berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Bacaan Doa Selamat serta Pelancaran Pratonton dan Poster Rasmi Filem Tiket Sehala di Tomaz Pickleball Club, pada Khamis.
Bagaimanapun, Sheila memuji sikap segelintir penerbit yang masih mempunyai kesedaran tinggi untuk menjaga kebajikan dan menghargai nilai pelakon veteran dalam industri.
Salah seorang yang disebut adalah penerbit Metrowealth Movies Production (MIG), Datuk David Teo yang disifatkan sebagai seorang yang sangat menghormati pelakon lama.
“Saya ada dua hingga tiga penerbit yang baik dan salah seorang daripada mereka adalah seperti MIG yang tidak berkira. Dia selalu berpesan supaya menjaga orang lama kerana kalau mereka tiada, kita juga tidak ada,” ujarnya.
Sebelum ini, Sheila mendedahkan ada segelintir pihak produksi yang menindasnya dengan menawarkan bayaran RM500 sehari untuk satu projek drama.










