2 beradik antara didakwa rompak pekerja stesen minyak guna tukul besi

2 beradik antara didakwa rompak pekerja stesen minyak guna tukul besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan tukul besi terhadap pekerja stesen minyak warga Bangladesh, dua bulan lalu.

Muhammad Nasrul Wafiy Harizan, 32, dan Muhammad Khairul Anuar, 30, serta rakan mereka Dzulkifli Ahmad, 36, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap lelaki berusia 49 tahun di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4.16 pagi, 6 Februari lalu.

Rompakan itu mengakibatkan kerugian RM5,500 melibatkan 17 kotak rokok, cermin kedai dan wang tunai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar serta seorang lagi rakan mereka, Syazwan Sazali, 34, mengaku tidak bersalah melakukan samun berkumpulan terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah sekolah di Jalan Jambu Jinjang Selatan, Sentul di sini pada 2.20  petang, 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd. Latip manakala peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar manakala Dzulkifli serta Syazwan tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar diikat jamin masing-masing berjumlah RM12,000, manakala Dzulkifli serta Syazwan diikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Fadzlin Suraya menetapkan 7 Mei untuk sebutan kes. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN