KLANG: Sebanyak 16 premis yang beroperasi tanpa kebenaran di tapak tanah rizab sekolah di Jalan Langat, Bandar Botanik di sini, diarah tutup serta merta oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan awam mengenai kerosakan jalan akibat kenderaan keluar masuk, sistem saliran dan gangguan bunyi bising di kawasan itu.
Menurutnya, kesemua premis itu baru-batu ini diarah memberhentikan pemajuan dan memulihkan semula tanah kepada keadaan asal
“Ia melibatkan kesalahan tiada Kebenaran Merancang (KM) daripada MBDK dan arahan itu selaras peruntukan Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 dan didaftarkan di mahkamah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Norfiza, operasi diketuai Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd. Zary Affendi Mohd Arif itu turut disertai polis, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Kami memandang serius perkara itu kerana melibatkan kepentingan awam dan pengabaian peraturan sebelum memulakan sesuatu pemajuan.
“MBDK akan meneruskan operasi seumpama itu secara berterusan bagi memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN










