11 pengilang padi Melayu mohon campur tangan PM

11 pengilang padi Melayu mohon campur tangan PM

11 kilang beras Melayu yang masih beroperasi gesa Perdana Menteri campur tangan dalam isu monopoli beras oleh syarikat besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua 11 pengilang padi Melayu yang masih ‘hidup’ menggesa Perdana Menteri segera campur tangan bagi menyelesaikan isu monopoli pengilang besar yang sedang mengancam ‘periuk nasi’ mereka.

Gesaan itu susulan keadaan semakin kritikal dan baki 11 kilang Melayu boleh ‘mati’ jika tiada langkah drastik menghentikan monopoli kilang besar.

Ia juga kerana tiada tindakan drastik di pihak kementerian bagi menyelesaikan isu berke­naan meskipun aduan telah dibuat kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengilang, Mohamad Tarmizi Yop berkata, 11 pengilang padi Melayu yang masih bertahan itu juga hanya menunggu masa untuk gulung tikar kerana susah bersaing de­ngan pengilang-pengilang besar.

Menurut beliau, keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pengilang padi Melayu, malah pemborong dan pengedar Melayu.

“Mengikut maklumat terkini daripada 1,000 pemborong Melayu yang aktif di Perak kini yang tinggal tiga sahaja. Selain tiga pemborong itu, selebihnya telah gulung tikar.

“Kilang padi Melayu hari ini hidup segan mati tak mahu, walaupun ada modal, ada rangkaian perniagaan, tetapi kita tidak mampu bersaing dengan syarikat besar contohnya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mahu memonopoli keseluruhan industri beras,’ kata beliau.

Oleh itu, Tarmizi berkata, pihaknya berharap Perdana Menteri campur tangan menyelesaikan monopoli dalam industri beras dan padi negara.

“Kami terpaksa merayu Perdana Menteri kerana peringkat kementerian tidak menyelesaikan masalah kita walaupun kita salurkan maklumat tentang apa yang berlaku. Kalau syarikat gergasi sampai 90 peratus sudah kawal industri ini, habislah kita orang Melayu. Kami benar-benar kecewa dengan situasi pada waktu kini,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pembelian padi yang tiada had menyebabkan hanya 11 kilang padi Melayu masih bertahan daripada 220 kilang padi bumiputera yang berdaftar di bawah Lembaga Padi Dan Beras Negara (LPN).

Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md. Radzi dilaporkan berkata, kebanyakan pengilang padi Melayu terjejas kerana mereka tidak mampu bersaing dengan pengilang besar yang membeli padi dengan harga lebih mahal dan dalam jumlah ba­nyak sehingga 120,000 tan metrik sekali gus.

Keadaan itu seterusnya menyebabkan pengilang yang memonopoli pembelian padi menjadi penentu sama ada mahu mengeluarkan stok beras atau disimpan.

Mengulas lanjut, kata Termizi, keadaan kritikal ini turut dise­babkan oleh dasar penswastaan LPN , sekali gus menegaskan dasar tersebut tidak wajar diterus­kan kerana tidak langsung menjaga kepentingan semua pihak khususnya orang Melayu dalam industri berke­naan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN