Nahas empat maut di Lebuhraya Karak: Pemandu treler positif dadah methamphetamine - Utusan Malaysia

Nahas empat maut di Lebuhraya Karak: Pemandu treler positif dadah methamphetamine

PEMANDU treler terlibat nahas di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) positif dadah jenis Methamphetamine.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Pemandu treler yang terlibat dalam nahas mengorbankan empat sekeluarga selepas sebuah kereta dihempap kenderaan berat itu di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) arah Bentong di sini, petang semalam positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, selepas selesai menerima rawatan di hospital, polis membawa pemandu treler terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi melaksanakan ujian saringan air kencing.

“Keputusan positif dadah jenis methamphetamine. Tangkapan sudah dibuat ke atas pemandu treler terbabit kira-kira pukul 4 pagi hari ini,” katanya hari ini.

Zaiham berkata, suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Raub hari ini untuk permohonan reman.

Semalam, empat individu termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk kayu dalam kemalangan di Kilometer 43 KLK arah Bentong.

Mangsa yang maut ialah A. Halim Hasoon, 55; isterinya, Rozita Buang, 58; anak perempuan mereka, Norbahyah A. Halim, 26, serta cucu perempuan, Nayla Afya Aizat berusia setahun.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan daripada kereta Honda City yang remuk teruk akibat dihempap treler terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN