Wartawan, jurugambar tunjuk bakat kacau bubur lambuk

Wartawan, jurugambar tunjuk bakat kacau bubur lambuk

PENGAMAL media dari KMP turut menyertai Program Bubuk Lambuk Komuniti Putrajaya 2024, di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sekumpulan pengamal media daripada pelbagai agensi yang bernaung di bawah Kelab Media Putrajaya (KMP) diberi peluang menyertai Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya 2024 hari ini.

Program tahunan anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Komuniti Putrajaya itu berjaya menyediakan 25 periuk bubur lambuk dengan lebih 15,000 pek bubur lambuk untuk diedarkan kepada komuniti setempat dan surau-surau.

Lebih menarik, KMP turut diberi peluang menyediakan satu periuk bubur lambuk dengan bantuan chef jemputan malah, menjadi antara pasukan terawal selesai memasak.

Pelbagai gelagat dapat disaksikan memandangkan ahli KMP pertama kali diberi peluang oleh PPj untuk ‘mengacau’ bubur lambuk.

Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, program tahunan itu lebih meriah tahun ini kerana ia menyediakan 25 periuk berbanding 20 periuk tahun lalu dan disertai 450 petugas.

Beliau berkata, kesemua bubur lambuk ini dimasak secara bergotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk Wilayah Putrajaya.

“ia turut disertai Ahli Jawatankuasa Surau-surau Putrajaya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Putrajaya, IPD Putrajaya, Bomba Putrajaya, Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP),” katanya.

Katanya, program ini akan ditambah baik pada masa depan dengan beberapa pembaikan serta lebih besar edarannya.

Sementara itu, Presiden KMP, Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin berkata, pihaknya berterima kasih atas peluang diberi peluang PPj selain merapatkan hubungan ahli kelab dengan komuniti setempat.

“Program ini disertai sembilan ahli kelab dari pelbagai agensi media termasuk ahli bukan beragama Islam yang kebanyakannya pertama kali merasai sendiri pengalaman menyediakan bubur lambuk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×