KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang menyokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak dijemput menghadiri Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, tiada keperluan untuk menjemput wakil rakyat berkenaan kerana telah khianat kepada parti.
“Kita sudah anggap wakil rakyat di tujuh kerusi itu sudah mati, kita hendak tunggu tarikh pilihan raya sahaja.
“Mereka tali barut, dijemput buat apa,” katanya ketika ditemui pada majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.
PN pada hari ini mengadakan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN yang dihadiri Ahli Parlimen Parlimen, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari gabungan itu berjumlah 292 orang.
Seramai 220 wakil rakyat PN yang hadir sementara bakinya tidak hadir kerana mempunyai tugasan rasmi di luar negara, urusan keluarga dan faktor kesihatan selain tujuh orang yang menyokong kerajaan.
Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.
Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu termasuk seorang lagi ADUNnya bertindak menyatakan sokongan kepada parti seteru.
Ahli parlimen berkenaan adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. – UTUSAN










