PUTRAJAYA: Kerajaan berharap lebih banyak syarikat pengangkutan selain syarikat swasta dan korporat untuk mewakafkan bas untuk dijadikan sebagai surau bergerak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan seperti itu boleh dimanfaatkan di mana-mana sahaja terutama di kawasan yang tiada kemudahan surau dan masjid.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha wakaf surau bergerak ini dan berharap usaha itu akan berterusan.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Agam Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atas usaha wakaf bas ini termasuk syarikat pengangkutan,” katanya selepas melancarkan surau bergerak Jawi 2.0 sempena sambutan Jubli Emas 50 tahun penubuhan JAWI di perkarangan Masjid Putra, hari ini.
Sementara itu, Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, insiatif surau bergerak diperkenalkan pada 2018 menerusi kerjasama JAWI dan Bank Rakyat.
Menurutnya, kemudahan yang selesa kepada umat Islam menunaikan kewajipan solat terutama ketika menghadiri program-program berskala besar yang dianjurkan di kawasan terbuka dengan kehadiran ramai pengunjung.
“Surau bergerak itu bukan sahaja boleh digunakan untuk menunaikan solat tetapi berfungsi sebagai sudut aktiviti keagamaan dan dakwah bergerak,” katanya.
Katanya, bas dua tingkat bernilai RM350,000 disumbangkan oleh syarikat Konsortium E-Mutiara manakala kos pengubahsuaian disumbangkan oleh CIMB Islamic dan individu melalui zakat wakalah berjumlah RM200,000.
Surau bergerak itu mampu menampung kapasiti seramai 35 orang jemaah dalam satu-satu masa serta memiliki ruang solat dengan kemudahan seperti karpet, sejadah, telekung, pembesar suara, dan penyaman udara.
Bahagian penumpang bas berkenaan diubah suai menjadi ruang solat dan aktiviti yang selesa manakala tempat penyimpanan barang diubah suai bagi penyimpanan bekalan air dan paip untuk mengambil wuduk.
Surau bergerak itu akan ditempatkan di beberapa lokasi seperti tapak pasar malam dan bazar yang dikenal pasti sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kemudahan masyarakat terutama menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri.
Selain itu, bas berkenaan juga terlibat dalam aktiviti turun padang bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui program Musa’adah dan JAWI Food Bank. – UTUSAN










