Vigneswaran kekal terajui MIC - Utusan Malaysia

Vigneswaran kekal terajui MIC

S.A. Vigneswaran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri S. A. Vigneswaran mempertahankan jawatannya sebagai Presiden MIC untuk penggal ketiga selepas diumumkan menang tanpa bertanding sebaik tempoh pencalonan pemilihan kepimpinan baharu parti itu ditutup jam 12 tengah hari tadi.

Keputusan itu seiring resolusi dipersetujui perwakilan parti berkenaan ketika Perhimpunan Agung MIC ke-77 November tahun lalu, yang memutuskan menghalang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Keputusan Vigneswaran mempertahankan kedudukannya diumumkan melalui satu hantaran di Facebook MIC.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri S.A. Vigneswaran yang mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC bagi penggal 2024 hingga 2026,” kata hantaran tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pemilihan semula Vigneswaran untuk menerajui parti tersebut membuktikan penyatuan kepimpinan dalam parti.

Malah beliau turut menyifatkan bahawa parti tersebut kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan akan terus melangkah ke depan.

“Tan Sri mengekalkan jawatan Presiden MIC untuk penggal ketiga berturut-turut selepas pencalonan presiden parti ditutup di ibu pejabat parti pada tengah hari ini. MIC kini lebih bersatu berbanding sebelum ini dan terus melihat ke hadapan.

“Selain memperjuangkan nasib masyarakat, MIC adalah satu-satunya parti berasaskan India di negara ini yang meletakkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pendidikan masyarakat India,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×