Usul sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan

Usul sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan

MUHAMMAD Akmal Saleh bercakap kepada pemberita di Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemuda UMNO akan mengusulkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana rakyat Malaysia telah dibezakan sejak kecil oleh sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT).

“Kita akan mengadakan sesi perbincangan dan perbahasan selepas ini di seluruh negara untuk kita mencadangkan mewujudkan semula sekolah satu ali­ran.

“Justeru, perkara ini perlu dikaji balik dan mesti diwujudkan sekolah satu aliran. Apa yang dipelajari di sekolah Tamil dan Cina mesti diasimilasikan dan kita belajar di sekolah kebangsaan sahaja,” katanya dalam sidang akhbar ketika Sidang DUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.

Muhamad Akmal berkata demikian bagi mengulas cadangan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai yang mahu melaksanakan kempen menggalakkan lebih ramai kaum Cina menyertai perkhidmatan awam.

Tambah Muhamad Akmal, usaha itu boleh dilakukan ke­rana ramai pihak yang mahukan golongan bukan bumiputera memasuki perkhidmatan awam.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, cadangan tersebut bagaimanapun perlu mendapat sokongan semua terutama parti politik.

“Hari ini kita hendak bercakap perlu lebih ramai penjawat awam daripada bukan bumiputera, maka kita pun boleh tukar dari segi pendidikan. Kita jangan hanya bercakap untuk satu pihak sahaja tetapi pihak lain reserve isu pendidikan itu, ini tidak boleh.

“Jadi kita minta usul ini disokong oleh pembangkang mahupun kerajaan tidak kira apa parti. Kita bercakap mengenai jaminan integrasi kaum mesti bermula daripada pendi­dikan dan ini mesti bermula daripada kehendak politik setiap parti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×