KLANG: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) komited mengukuhkan hubungan maritim dengan Malaysia bagi membina Indo Pasifik yang lebih stabil, bebas dan berdaya tahan tanpa akses terhad.
Pegawai Pemerintahnya, Kapten William L. Mees berkata, pihaknya menjalin kerjasama erat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam meningkatkan keupayaan maritim antara kedua-dua negara.
Menurutnya, kerjasama itu berupaya mengukuhkan tadbir urus maritim global bagi memelihara kedaulatan dan perkongsian maklumat.
“Selain memudahkan perkongsian, ia menunjukkan standard tingkah laku profesional bagi mengukuhkan undang-undang di laut.
“USCG mahu memastikan penyatuan negara sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai bagi keselamatan, keselamatan dan kemakmuran maritim di rantau ini,” katanya pada sesi lawatan kapal United States Coast Guard Cutter (USCGC) Bertholf, hari ini.
Kapal pengawal pantai Amerika Syarikat yang kali pertama tiba di pelabuhan itu tiba hari ini dan dijangka berlabuh sehingga Isnin depan.
Pemberita kemudian dibawa meninjau kapal itu hampir sejam oleh pegawai USCG termasuk di bahagian operasi pusat kawalan, kapal penyelamat dan kejuruteraan.
Tambah Mees, kapal yang dikendalikan seramai 170 anak kapal termasuk pegawai USCG itu akan turut berlabuh di beberapa negara kongsi lain kelak.
“Kapal ini kebiasaannya mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk mengelilingi negara-negara selepas keluar dari perairan Amerika Syarikat.
“Kerjasama antara Maritim Malaysia dan USCG antara langkah proaktif dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan perairan termasuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran pegawai kedua-dua agensi,” ujarnya.










