PADANG BESAR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Padang Besar terus berusaha keras dan yakin merampas kembali Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16.
Malah, menerusi kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH), peluang untuk merampas Parlimen Padang Besar dan lima DUN lain juga agak cerah memandangkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15 adalah disebabkan gelombang di peringkat pusat yang turut melanda di kawasan-kawasan lain.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, keyakinan tersebut mempunyai asas yang kukuh di mana kekalahan dialami UMNO dan BN di Parlimen Padang Besar adalah kali pertama dalam sejarah dan situasi tersebut sama seperti di kawasan-kawasan lain iaitu disebabkan isu dan gelombang di peringkat pusat.
Katanya, isu berkenaan adalah lebih bersifat bermusim dan dalam masa sama sebenarnya tidak ada isu mengenai ketidakpuasan hati pengundi terhadap penyandang-penyandang sebelum ini.
“Oleh itu, peluang untuk UMNO dan BN memenangi kembali kerusi di DUN dan Parlimen dalam kawasan Padang Besar adalah lebih cerah,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, Ruzaini berkata, Perikatan Nasional (PN) negeri juga dilihat mengalami perpecahan khususnya berkaitan isu pelantikan Exco kerajaan negeri baru-baru ini apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis pernah membuat bantahan terbuka terhadap Menteri Besar yang tidak melantiknya sebagai salah seorang Exco.
“Selain itu, ketidaksefahaman juga berlaku dalam Pas terutama dalam hal membabitkan hubungan antara kerajaan negeri dan MATIN iaitu badan pendidikan di bawah Pas negeri ini.
“Malah, mereka (PN) juga gagal menunaikan permohonan daripada rakyat dengan menjaja alasan tiada peruntukan yang diberi oleh kerajaan pusat,” katanya.
Dalam pada itu, Ruzaini memaklumkan kekakalan UMNO di Padang Besar dalam PRU15 tidak mematahkan semangat parti itu sebaliknya mereka terus bangkit menerusi gerak kerja berterusan mendekati rakyat.
Katanya, pelbagai program diatur dan telah dijalankan membabitkan UMNO bahagian berkenaan termasuk di peringkat sayap parti.
“Malah, dalam tempoh sebulan dari Februari hingga pertengahan Mac sahaja, lebih 35 program telah dijalankan sekali gus membuktikan UMNO Bahagian itu terus aktif,” katanya.-UTUSAN










