GUA MUSANG: UMNO Bahagian Gua Musang bersedia berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya kerusi Parlimen kawasan itu yang disandang oleh Mohd. Azizi Abu Naim dikosongkan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, ketika ini mereka hanya menunggu perkembangan selanjutnya mengenai nasib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Gua Musang itu.
“Saya menerima apa saja keputusan…jika ada PRK kita bersedia untuk merampas semula kerusi ini (Gua Musang),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Syahbuddin memberitahu, tindakan Mohd. Azizi yang beralih sokongan adalah satu pengkhianatan kepada mandat rakyat, ahli parti Perikatan Nasional (PN) dan penyokong.
“Penyokong dan jentera pastinya marah kerana ini bukan yang mereka harapkan. Maka alasan yang Ahli Parlimen berikan untuk bersama dengan rakyat, saya kira tak nampak lagilah apa yang Mohd. Azizi nak laksanakan kepada rakyat Gua Musang dengan peruntukan yang beliau dapat daripada Kerajaan Persekutuan.
“Saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersedia untuk bekerjasama tetapi ahli Parlimen tidak pernah melaksanakan atau memanggil kami untuk bekerjasama,” katanya.
Semalam, Bersatu berjaya meminda perlembagaan parti dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada Sabtu, di mana perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu.
Artikel itu menetapkan perkara berkaitan perletakan jawatan dan pemecatan ahli parti.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan tersebut menghalang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itu menyokong musuh parti itu. – UTUSAN










