MARAN: Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mencadangkan kerajaan segera menubuhkan Majlis Padi dan Beras Negara (Mapen) sebagai pemangkin keterjaminan makanan utama negara.
Menurut persatuan itu, kemelut isu makanan utama negara khususnya beras putih tempatan (BPT) masih tiada penyelesaian mutlak sehingga kini biarpun kerajaan melaraskan Harga Beras Putih Import (BPI) dengan menurunkan harga jualan runcit antara RM2 hingga RM3 bagi pek 10 kilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Barim, Ismail Awang berkata, isu beras putih tempatan berlarutan kerana sebab-sebab teknikal dan kemungkinan wujud konspirasi kartel yang menyebabkan rakyat terus menderita.
“Penurunan harga beras putih import RM3 seperti diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak menyelesaikan secara keseluruhannya isu pokok iaitu beras putih tempatan.
“BPT masih tiada di pasaran, ditambah pula fenomena cuaca kering ketika ini di utara Semenanjung maka akan bertambah celaru isu bekalan beras putih tempatan,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, kerajaan memutuskan melaraskan BPI dengan menurunkan harga jualan runcit di antara RM2 hingga RM3 di pasaran bagi pek 10 kilogram.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, ia dimuktamadkan melalui Mesyuarat NACCOL Bil. 1/2024 bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah.
Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
Langkah intervensi itu bagi meningkatkan pengedaran sekali gus menangani isu kekurangan BPT di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada 1 September 2023.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, Mapen boleh diletakkan terus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan melantik seorang pengerusi manakala ahli lembaganya dilantik dalam kalangan pemain industri beras negara.
“Apabila terdapat kekurangan dalam isu beras umpamanya keperluan beras import, libat urus kerajaan kepada kerajaan (G2G) dengan negara pembekal boleh diuruskan oleh kerajaan sendiri.
“Segala urusan akan ditentukan oleh kerajaan sendiri seperti LPN dahulu. Jika kerajaan hendak wujudkan Mapen, kaedah operasinya sama seperti LPN dahulu, cuma mungkin pendekatan berbeza disebabkan keadaan semasa,” katanya.
Jelasnya, kewujudan Mapen dapat berperanan mengawal beras supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan dan mendapat keuntungan besar ketika rakyat dalam keadaan tertekan.
“Barim memohon dalam menangani isu beras putih tempatan ketika ini, kerajaan perlu wujudkan Mapen untuk kita fokus bagaimana hendak kawal beras dan padi.
“Apabila bercakap tentang keterjaminan makanan, mesti menjamin makanan itu ada dan mesti mampu dibeli. Jadi, sebab itu perlu ada satu badan yang betul-betul memfokuskan isu beras ini,” katanya. – UTUSAN










