PETALING JAYA: Kekurangan bekalan beras di beberapa pasar raya dikenal pasti berpunca daripada permintaan tinggi melalui penebusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menjadikan beras sebagai barangan paling laris.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tinjauan mendapati hampir semua stok beras tempatan habis ditebus penerima SARA, manakala hanya beras import yang masih berbaki di rak jualan.
Katanya, beras merupakan produk paling banyak ditebus sehingga menhttps://www.utusan.com.my/nasional/2025/09/1201808/yebabkan berlaku kekurangan bekalan di beberapa lokasi.
“Saya akan maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk segera menambah stok beras di kawasan terbabit.
“Ini perlu diberi keutamaan kerana beras antara barangan paling kritikal dalam kalangan rakyat,” katanya ketika sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan SARA hari ini.
Selain isu bekalan beras, Fahmi berkata, terdapat juga aduan mengenai bilangan premis tebus barangan yang masih terhad di sesetengah kawasan seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang hanya mempunyai dua premis SARA.
“Jumlah premis pelaksanaan program itu sudah meningkat kepada lebih 7,300 berbanding hanya 2,000 ketika mula diperkenalkan, namun pengembangan lokasi masih boleh dilakukan.
“Terdapat keperluan menambah baik mekanisme pemantauan stok berdasarkan data pembelian SARA bagi mengelakkan gangguan bekalan barangan asas lain,” katanya.
Mengulas isu tuntutan bertindih termasuk penggunaan MyKad individu lain yang hilang, Fahmi berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diteliti, selain mencadangkan hotline MyKasih diwujudkan bagi memudahkan laporan terus dibuat kepada juruwang.
“Secara keseluruhan, program ini berjalan dengan baik, cuma isu bekalan beras ini perlu diselesaikan segera supaya manfaat SARA dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN










