KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan dasar pemberian tol percuma tahun ini untuk semua perayaan besar termasuk Hari Raya Aidilfitri pada April ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun berkata, bermula tahun ini, pengecualian tol hanya kepada kenderaan persendirian iaitu kenderaan kelas satu bagi mengimbangi perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan.
“Untuk kenderaan kelas lain seperti kenderaan komersil, tiada pengecualian tol,” kata beliau dalam jawapan lisan menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) di Dewan Rakyat hari ini.
Alexander berkata, pemberian pengecualian tol bagi tahun lalu membabitkan 53.91 juta transaksi tol dengan anggaran pampasan ditanggung kerajaan sebanyak RM206.19 juta.
Pampasan sebanyak RM41.21 juta sempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri (RM80.07 juta, Deepavali (RM42.31 juta) serta RM42.60 juta sempena Krismas.
“Pengecualian tol sempena musim perayaan ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang merentasi agama, kaum dan kepercayaan dalam meraikan hari perayaan masing-masing bersama keluarga di kampung halaman,” katanya.-UTUSAN










