Tindakan Abdul Rashid dirujuk ke perlembagaan parti - Azmin - Utusan Malaysia

Tindakan Abdul Rashid dirujuk ke perlembagaan parti – Azmin

Abdul Rashid
MOHAMED Azmin Ali ditemui pemberita dalam sidang akhbar pada Sidang DUN Selangor dekat Wisma Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang dilapor mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan dirujuk kepada perlembagaan parti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan tersebut disifatkan sebagai khianat dan mereka yang berbuat demikian dituntut untuk mengosongkan kerusi mereka.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pembangkang Selangor menggesa Abdul Rashid supaya tampil menjelaskan kedudukannya jika dakwaan tersebut tidak benar selepas tidak menerima sebarang kenyataan rasmi sebaliknya mengetahui perkara tersebut daripada laporan akhbar.

“Dia tidak terlibat, itu bukan surat dia? Saya tidak tahu, saya cadangkan sekiranya beliau tidak terlibat, Alhamdulillah. Tetapi tampillah untuk memberikan penjelasan kerana itu menimbulkan kemarahan dan keresahan dalam kalangan rakyat khususnya pengundi di Selat Klang.

“Maka untuk berlaku adil kepada Selat Klang, saya mencadangkan supaya beliau tampil untuk menafikan bahawa itu adalah surat beliau,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, barisan ADUN Perikatan Nasional (PN) sudah tentu mengutuk tindakan yang diambil Abdul Rashid kerana ia disifatkan sebagai pengkhianatan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat khususnya di Selat Klang.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu mengisytihar sokongan terhadap Menteri Besar atas beberapa faktor termasuk kedudukan kerajaan negeri ketika ini yang diperakui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Malah antara alasan dikemukakan beliau terhadap perisytiharan tersebut termasuklah kecewa dengan pimpinan PN Selangor yang berdiam diri ketika Raja-Raja Melayu menerima tohmahan dan menyifatkan perkara tersebut bertentangan dengan prinsip sebagai orang Melayu beragama Islam.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PN Selangor menafkan dakwaan lima lagi ADUN didakwa mengikut jejak langkah untuk menyokong kerajaan yang didukungi parti lawan.

“Yang dinamakan, Dengkil, Jeram, Morib, Sungai Kandis, Batang Kali, yang belum dinamakan Hulu Kelang, tak usah layan itu semua, rakyat penat, rakyat mahu kami berikan khidmat yang baik, itulah kami lakukan.

“Ini bukan sesi pertama (Sidang DUN), ini sesi kedua, saya percaya semua lihat kami menggunakan setiap ruang dalam dewan negeri ini untuk membawa suara rakyat, kita tidak pernah gagal untuk hadir dan terlibat dalam semua prosiding dalam Dewan Undangan Negeri, ini adalah komitmen kami,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN