SEPANG: Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini akan memutuskan sama ada caj cukai perkhidmatan sebanyak (SST) enam peratus bagi tiket penerbangan domestik dikekalkan atau sebaliknya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau menerima permohonan daripada syarikat penerbangan tempatan untuk mengekalkan kadar enam peratus SST itu.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa cadangan itu kepada Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ia diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Kenaikan kadar SST daripada enam ke lapan peratus sudah dimulakan. Bagaimanapun, saya akan bincang dengan MOF mengenai cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.
“Buat masa ini, tiket penerbangan domestik tertakluk kepada caj SST enam peratus. AirAsia ada berbincang dengan saya supaya caj itu dikekalkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan tambang tetap AirAsia sempena Hari Raya Aidilfitri, di sini hari ini.
Berkuat kuasa 1 Mac lalu, cukai SST naik kepada lapan peratus, berbanding enam peratus sebelum ini namun, ia tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.
Peningkatan kadar SST baharu ke 8 peratus ini diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2024 Oktober lalu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, cadangan untuk mengekalkan kadar SST itu penting memandangkan industri penerbangan tempatan belum pulih sepenuhnya selepas pandemik Covid-19.
Menurutnya, pihaknya mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk mengekalkan kadar berkenaan bagi tiket penerbangan domestik.
Dalam pada itu, Tony berkata, beliau juga mahu kerajaan memberi tumpuan kepada industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat kerana ia mempunyai potensi besar untuk berkembang.
“Saya harap kerajaan dapat menyokong industri itu termasuk membantu organisasi MRO tempatan supaya Malaysia tidak ketinggalan berbanding Singapura,” katanya.
Terdahulu, Loke mengumumkan tawaran lebih daripada 22,000 tempat duduk pada tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang disediakan AirAsia sempena musim Hari Raya Aidilfitri nanti.
Kadar tambang tetap ditawarkan ialah pada RM298 sehala ke Sarawak manakala ke Sabah adalah RM348 sehala dan tambang promosi itu boleh ditempah bermula hari ini hingga 17 April di laman web airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE. – UTUSAN
habis.