ASEAN perlu lebih tegas isu iklim global – Johari

ASEAN perlu lebih tegas isu iklim global – Johari

JOHARI Abdul Ghani dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN (AMME) sempena Kepengerusian ASEAN di Langkawi, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: ASEAN perlu me­ngambil pendirian lebih tegas dalam perbincangan perubahan iklim global bagi memastikan perjanjian alam sekitar pelbagai hala yang dipersetujui rantau ini terus relevan.

Pemangku Menteri Sumber­ Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ber­kata, kerjasama serantau dalam isu-isu alam sekitar utama perlu diperkukuhkan melalui kolaborasi rentas sektor yang lebih mendalam.

Antaranya ujar beliau, melibatkan Mesyuarat Menteri-Men­teri Alam Sekitar ASEAN (AMME), Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) serta badan-badan sektoral di bawah ASEAN.

“Kami juga akan memukta­madkan pendirian bersama ASEAN menjelang Persida­ngan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (UNFCCC COP30) yang dijadualkan hujung tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan AMME-18 yang dipengerusikannya di sini, semalam.

Mesyuarat itu menghimpunkan menteri-menteri alam sekitar dari 12 negara ASEAN serta wakil Kesatuan Eropah bagi membincangkan kerjasama dan isu-isu berkaitan alam sekitar yang memberi kesan kepada rantau ini.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ASEAN mesti bersatu sebagai satu rantau untuk memberi pengaruh lebih berkesan dalam perbincangan iklim global.

“ASEAN boleh dan seharus­nya mengambil pendirian lebih lantang dalam isu seperti pembiayaan iklim, adaptasi, kerugian dan kerosakan, peralihan adil serta Matlamat Global untuk Adaptasi,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar AMME-18 dapat memacu pelaksanaan perjanjian alam sekitar pelbagai hala yang relevan kepada ASEAN, termasuk Perjanjian Paris, Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) serta Perjanjian Global Plastik.

“Marilah kita gunakan peluang ini bukan sekadar untuk menilai kejayaan lampau, tetapi untuk bergerak ke hadapan de­ngan agenda yang lebih berkesan.

“Bersama-sama kita boleh membina kerjasama jangka pan­jang, merangka penyelesai­an praktikal dan menunjukkan kepimpinan ASEAN dalam membina masa depan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan terhadap perubahan ik­lim,” katanya.

Malaysia yang memegang kerusi Pengerusi ASEAN tahun ini turut menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini di bawah tema ‘Inklusiviti dan Kelestarian’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN