BEIJING: Sejak tiga hari lalu, Presiden China, Xi Jinping menggunakan peluang menjadi tuan rumah sidang kemuncak bagi memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua dengan rancangan rapi bagi mempamerkan visinya tentang susunan dunia baharu.
China mengadakan perarakan ketenteraan berskala besar di ibu negara, selepas menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin yang berlangsung sejak Ahad.
Perarakan di laluan utama Beijing, Avenue of Eternal Peace semalam berlangsung gah, mempamerkan senjata hipersonik terkini, peluru berpandu berkeupayaan nuklear serta dron bawah laut, diiringi ribuan askar.
Ia menggambarkan kekuatan ketenteraan China yang semakin berkembang di bawah usaha Jinping untuk memodenkan angkatan tentera tetap terbesar di dunia itu.
Mesejnya jelas, Beijing mahu memperkukuh kedudukannya sebagai kuasa global dan tidak takut mencabar dominasi Barat.
PAKSI ANTI-AMERIKA
Mengukuhkan lagi mesej itu adalah tetamu Jinping pada perhimpunan berkenaan yang melibatkan lebih 24 pemimpin dunia ‘mesra China’, diketuai Presiden Russia, Vladimir Putin serta pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan turut disertai Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Ia menandakan kali pertama pemimpin daripada empat negara yang menurut perancang strategi Washington sedang bergabung membentuk ‘paksi pergolakan anti-Amerika’, hadir bersama dalam satu acara.
Bagi pemimpin Barat yang sedang berusaha keras meningkatkan tekanan terhadap Putin supaya menamatkan perang di Ukraine, keadaan itu jelas memberi isyarat tegas.
Iran, Korea Utara, China dan Russia dilihat oleh sesetengah pemerhati Barat sebagai paksi anti-Amerika yang sedang muncul, khususnya kerana Teheran dan Pyongyang membekalkan senjata kepada Moscow.
Bahkan, Korea Utara turut menghantar tentera, manakala China membantu ekonomi serta industri Russia yang terjejas akibat perang.
Dengan Jinping menyusun kedudukan kerusi di sisinya pada hari penuh simbolik untuk China, beliau memperlihatkan dirinya sebagai satu-satunya tokoh berpengaruh di peringkat global yang berpotensi untuk menekan Putin menghentikan perang, namun memilih untuk tidak bertindak demikian mengikut kehendak Barat.
Bagi Jinping, pemimpin paling berkuasa dan lama berkhidmat dalam beberapa dekad, simbolisme serta pemilihan waktunya jelas disengajakan.
Di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump, Amerika Syarikat (AS) sedang ‘menggoncang’ pakatan sedia ada dan menimbulkan kesan ekonomi terhadap negara di seluruh dunia, termasuk rakan sekutu, menerusi perang perdagangan global.
Jinping melihat ia peluang terbaik untuk mempersembahkan cabarannya yang paling dramatik setakat ini terhadap sistem dunia berasaskan peraturan dan kepekaan Barat.
Sudah pun jelas usaha itu membuahkan hasil buat pemimpin China.
Rakaman aktiviti para pemimpin dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan semangat persahabatan yang kukuh dalam kalangan mereka, dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Putin menyapa Jinping penuh mesra.
Detik itu boleh dikatakan sama kuat kesannya seperti kenyataan rasmi yang dibuat, menandakan penyatuan pemimpin tanpa penglibatan Barat.
MANFAAT PERUBAHAN DASAR AS
Dalam ucapan dan pertemuannya bersama pemimpin yang hadir ke SCO, Jinping menekankan mesej dunia kini berada dalam keadaan tidak menentu serta huru-hara, dan China adalah kuasa bertanggungjawab serta stabil untuk memimpin masa depan yang lebih baik.
“Kita mesti menentang mentaliti Perang Dingin, menghalang konfrontasi dan amalan membuli,” kata Jinping ketika berucap di hadapan pemimpin pada Isnin lalu, dipercayai merujuk tingkah laku AS.
Beliau juga berjanji menyalurkan ratusan juta dalam bentuk geran kepada negara anggota SCO tahun ini, selain melancarkan desakan untuk mereformasi sistem antarabangsa.
Mesej itu bukan perkara baharu, tetapi Beijing yakin ia akan memberi kesan berbeza selepas kuasa besar dunia itu memutuskan rangkaian bantuan asingnya, mengenakan tarif yang menjerut ekonomi negara membangun, serta menimbulkan persoalan dalam kalangan sekutu sama ada mereka benar-benar boleh bergantung kepada AS.
“Peraturan beberapa negara tidak seharusnya dipaksakan ke atas yang lain,” seperti ditegaskan Jinping dalam ucapannya.
Beliau juga sudah mula meraih manfaat daripada perubahan dasar AS.
Buktinya dilihat pada India apabila Modi kelihatan tersenyum dan ketawa berbual dengan Jinping di sisi Putin.
Bahkan negara-negara Asia Tenggara yang sejak sekian lama memandang curiga terhadap kekuatan ketenteraan China yang semakin berkembang sikap tegasnya berhubung tuntutan wilayah di Laut China Selatan serta Taiwan merasakan perubahan dinamik global itu juga bakal memberi kesan.
Namun, dalam usahanya menggunakan jadual yang diatur rapi minggu ini untuk menampilkan kepimpinannya kepada kumpulan besar negara, JInping juga mengambil peluang itu untuk menangkis kritikan Barat terhadap hubungan lamanya dengan rakan seperti Korea Utara, Russia dan Iran, yang semuanya dianggap sebagai aktor ‘nakal’ oleh Barat.










