PETALING JAYA: Kelewatan mendapatkan janji temu dengan doktor pakar di hospital kerajaan sehingga mencecah lebih setahun menjadi masalah terbesar yang terus membelenggu keluarga dan kanak-kanak autisme di negara ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Mohd. Nazrul Mohd. Amin berkata, meskipun tahap kesedaran ibu bapa terhadap autisme kini semakin meningkat, sistem diagnosis dan rawatan di hospital kerajaan masih gagal menampung permintaan tinggi.
Katanya, ramai ibu bapa kini sudah peka dengan tanda-tanda autisme dan membuat pra-saringan awal. Namun, apabila dirujuk ke hospital kerajaan, ada yang terpaksa menunggu enam bulan hingga lebih setahun hanya untuk janji temu pertama dengan doktor pakar.
“Apabila rawatan awal tertangguh, peluang untuk membendung cabaran perkembangan anak-anak ini juga semakin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan untuk membangunkan sebuah tabika khas bagi kanak-kanak autisme di setiap daerah menjelang tahun 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran awal adalah mewujudkan sekurang-kurangnya satu tabika autisme di setiap negeri sebelum diperluaskan ke peringkat daerah.
Mohd. Nazrul berkata, masalah tidak berakhir selepas pengesahan diagnosis kerana sesi terapi di hospital kerajaan juga sering tertangguh.
Katanya, terdapat kanak-kanak yang sepatutnya menjalani terapi seminggu sekali atau dua minggu sekali, terpaksa menunggu hingga enam bulan untuk sesi rawatan seterusnya.
“Selain isu rawatan, kebimbangan besar lain dalam kalangan ibu bapa ialah masa depan anak-anak autisme apabila mereka meningkat dewasa terutama jika sudah tiada penjaga.
“Ramai ibu bapa risau, siapa yang akan menjaga anak-anak ini jika mereka tiada. Sebab itu NASOM kini memperjuangkan penubuhan Smart Autism Village sebagai pusat kediaman, sokongan dan transit bagi golongan autisme tanpa waris, selain menjadi tempat mereka bersosial serta membina kehidupan lebih baik,” katanya.
Mengulas inisiatif kerajaan mewujudkan satu tabika autisme di setiap daerah menjelang 2027, Mohd. Nazrul berkata, ia adalah langkah permulaan yang sangat baik.
Katanya, setakat ini hanya ada tiga tabika autisme di Melaka, manakala mulai tahun depan kerajaan akan menambah satu tabika di setiap negeri sebelum diperluaskan ke setiap daerah.
“Dengan lebih 63,000 individu autisme berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah itu sememangnya belum mencukupi.
“Pada masa akan datang, kita harap daerah yang besar boleh mempunyai lebih satu tabika, bahkan kalau boleh berhampiran sekolah rendah supaya lebih mudah diakses,” katanya.
Kata Mohd. Nazrul, kerajaan juga boleh beri insentif kepada tabika swasta tubuhkan tadika autisme sekali gus memperluas capaian pendidikan inklusif di seluruh negara.
Beliau juga mengakui tahap kesedaran ibu bapa mengenai pendidikan awal kanak-kanak autisme kini semakin baik hasil usaha NASOM, badan bukan kerajaan (NGO), pihak korporat dan kerajaan.
“Kalau dulu ramai ibu bapa anggap kelewatan bercakap atau perkembangan lambat itu biasa, kini mereka cepat bertindak. Malah, sudah ada sistem pra-saringan dalam talian seperti MCAT (Malaysian Child Autism Test) yang membantu ibu bapa membuat penilaian awal.
“Tetapi kesedaran ini belum menyeluruh. Masih ada yang menolak atau takut mendapatkan diagnosis. Kita perlu terus mendidik ibu bapa supaya jangan berlengah, kerana lebih cepat diagnosis dibuat, lebih cepat anak-anak mendapat rawatan dan peluang mereka untuk menyesuaikan diri di sekolah juga lebih cerah,” katanya. – UTUSAN










