KUALA LUMPUR: Harga beras putih RM30 sekampit bagi 10 kilogram (kg), harga lantai belian padi dan pengapungan beras antara tiga syor akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijadual hari ini.
Ketika ini, harga Beras Putih Tempatan (SST) ditetapkan RM26 setiap 10kg sejak 2008 dan ia tidak pernah berubah selama 16 tahun manakala harga lantai belian padi adalah RM1,300 per tan metrik.
Bagaimanapun, beras SST sukar ditemukan di pasaran menyebabkan rakyat terpaksa membeli beras import pada kadar RM40 setiap 10kg.
Situasi ini mendorong kartel beras memonopoli bekalan padi tempatan dan kilang-kilang kartel membeli padi pada harga lebih tinggi daripada yang ditetapkan kerajaan. Harga belian padi ketika ini adalah sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, harga beras RM30 bagi sekampit 10kg dicadangkan untuk semua gred bagi merasionalisasi harga jualan di setiap peringkat yang berkaitan dalam industri beras.
Namun, harga jualan beras RM30 itu menyebabkan harga lantai belian padi menurun kepada RM1,500 per tan metrik, yang mana ia memberi kesan kepada pendapatan kira-kira 200,00 pesawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Task Force (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, jika harga beras RM30 bagi sekampit 10kg dilaksanakan, ia tidak memberi ruang kepada mana-mana kartel untuk memanipulasi harga beras.
“Sebelum ini untuk harga beras SST RM26, harga lantai belian padi adalah RM1,300. Bagi rasionalisasikan kembali harga beras di pasaran setelah 16 tahun tiada kenaikan, kita cadangkan supaya untuk terus tidak membebankan pengguna yang sekarang ini terpaksa membeli pada harga RM40.
“Saya akan kekal pada cadangan RM30 untuk semua beras dan semua rangkaian pemain industri akan beli harga padi pada RM1,500 per tan metrik.
“Keseluruhan industri padi benih perlu dirasionalisasikan semula bagi mengurangkan kos pesawah untuk pengeluaran padi. Untuk sementara, kerajaan akan bantu setelah rasionalisasi ini mendapat input pertanian benih padi dengan harga yang lebih sesuai untuk dikembangkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata Syed Abu Hussin Hafiz, harga beras RM30 sekampit 10kg dan harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik itu adalah cadangan yang akan dibawa secara konsisten oleh pihaknya dalam mesyuarat NACCOL yang dijadualkan hari ini.
Beliau memaklumkan, Mesyuarat Khas NACCOL yang sepatutnya dijadualkan Rabu ini dicepatkan kepada pukul 2 petang ini bagi memutuskan perkara-perkara berkaitan.
Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta NACCOL diberi tempoh bagi memuktamadkan isu berkaitan harga padi dan beras.
Perdana Menteri dilapor berkata, penetapan itu memerlukan masa sebelum ini untuk mengimbangi keperluan pengguna dan pesawah supaya mereka tidak terbeban.
Dalam pada itu, seorang pegawai NACCOL yang enggan dikenali berkata, kartel atau pengilang-pengilang dipercayai sedang berpakat untuk menekan kerajaan untuk mengapungkan harga beras dalam mesyuarat berkenaan.
“Itu strategi mereka buat masa sekarang. Secara dasar, kenaikan harga beras di pasaran dengan ketiadaan beras tempatan adalah aktiviti oleh kartel-kartel. Dalam usaha kerajaan mencari penyelesaian pada harga padi beras yang lebih munasabah untuk dibeli oleh rakyat dan dalam usaha untuk mengembangkan industri padi, harga yang sesuai perlu dimuktamadkan.
“Tetapi kartel terus menekan dengan membeli harga padi di luar kebiasaan sehingga RM1,700 ke RM1,800 per tan sekarang dengan harapan mereka masih boleh menjual beras dalam kampit import. Jika kerajaan buat keputusan tetapkan harga siling RM30 satu gred beras, maka tidak ada ruang manipulasi harga beras tempatan,” katanya.
Ditanya bukti mengenai perkara itu, pegawai berkenaan memberitahu, kegagalan penguat kuasa yang tidak membuat siasatan menyebabkan aktiviti ini berlarutan sehingga hari ini. – UTUSAN










