Tiga empangan di Kedah pada paras selesa

Tiga empangan di Kedah pada paras selesa

KAPASITI takungan Empangan Muda yang mencatatkan 58,750 ekar kaki atau bersamaan 47 peratus. -GAMBAR FAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan sumber air pengairan akti­viti tanaman padi dan kegunaan domestik sepanjang El Nino.

Cawangan Komunikasi Korporat MADA dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah keseluruhan takungan ketiga-tiga empangan MADA sehingga semalam adalah sebanyak 887,920 ekar kaki bersamaan 72.60 peratus.

“Kapasiti takungan Empangan Pedu adalah 625,000 ekar kaki bersamaan 71.43 peratus, Empangan Muda sebanyak 58,750 ekar kaki (47 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 204,170 ekar kaki (91.56 peratus).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika ini status kemajuan aktiviti tanaman padi bagi musim 2/2023 adalah di peringkat penuaian yang mana 77.3 peratus di kawasan Muda sudah dituai. Oleh itu, penggunaan air untuk tujuan pengairan adalah pada tahap minimum,” katanya.

Tambah kenyataan itu, orang ramai tidak perlu risau biarpun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan, namun masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2024 yang akan bermula April ini.

Sementara itu, jumlah turunan hujan di kawasan Muda sehingga kelmarin merekodkan bacaan lebih rendah iaitu sebanyak 59 milimeter (mm) berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun, iaitu 164mm.

“Bagi menghadapi El Nino yang dijangka sehingga Jun ini, MADA tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan.

“Kita juga menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman musim penghujung Mac ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×