Tiada rakyat Malaysia terlibat serangan bakar wilayah Selatan Thailand

Tiada rakyat Malaysia terlibat serangan bakar wilayah Selatan Thailand

PEMANGKU Ketua Polis Negara Thailand, Pol Jen Kittarat Panphet (dua dari kiri) diberi taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Wilayah 9 Pol, Mej Jen Piyawat Chalermsri mengenai serangan arson di Yala. - GAMBAR BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas ekoran beberapa serangan kebakaran yang berlaku di Pattani, Yala dan Narathiwat, wilayah-wilayah di selatan Thailand pada awal pagi semalam.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang memantau rapat perkembangan insiden itu dan sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla beralamat di No 4, Sukhum Road, Tambon Boryang Muang District Songkhla, No. Telefon : +(6674) 316 274 / +(6693) 6570707 dan Emel : [email protected].

Menurut Bernama, Pattani, Yala dan Narathiwat menjadi sasaran satu gelombang serangan bakar jahat dan bom awal pagi semalam dengan sekurang-kurangnya 30 serangan termasuk bom dan bakar jahat dilaporkan di tiga wilayah selatan itu awal pagi Jumaat.

Siasatan mendapati bakar jahat itu adalah bagi menimbulkan huru-hara di wilayah selatan dalam Ramadan.

Komander Wilayah Tentera Darat Keempat, Lt Jen Santi Sakuntanark berkata, beberapa kumpulan individu melakukan serangan bakar jahat yang diselaraskan di pelbagai lokasi di tiga wilayah menyasarkan kedai serbaneka 7-Eleven, kedai-kedai, menara sel, kamera litar tertutup (CCTV) dan kenderaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Mayo, Kol Polis Somsak Tanchareun berkata, satu letupan bom dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak yang sedang dalam pembinaan dan seorang wanita warga Myanmar maut.

Sejumlah 16 serangan bakar jahat dilaporkan di Pattani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN