Tetapkan kadar optimum pelajar dalam satu kelas 

Tetapkan kadar optimum pelajar dalam satu kelas 

PELAJAR lebih kondusif berada dalam kelas yang mempunyai 20 hingga 25 murid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mengikut polisi atau pandangan di peringkat global dengan menetapkan kadar optimum bagi keberkesanan pembelajaran antara  25 dan 30 pelajar dalam satu kelas.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, angka minimum yang terbaik untuk setiap kelas adalah 25 pelajar.

Katanya, bilangan maksimum pelajar bagi setiap kelas pula adalah hanya 30 orang mengikut kesesuaian. 

“Bilangan itu adalah optimum, di mana guru dapat memperhatikan serta memberi sepenuh tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Tidak salah untuk setiap kelas lebih daripada 30 tetapi keberkesanan dalam proses PdP akan merosot dan mengurang disebabkan guru tidak mampu menguruskan dalam kuantiti yang ramai,” katanya dalam sebuah klip video yang dimuat naik di dalam akaun Facebooknya.

Terdahulu, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta menyelaras semula jumlah pelajar dalam sesebuah sekolah dan kelas supaya tidak berlaku kesesakan.

Ini berikutan terdapat peni­ngkatan enrolmen bagi murid tahun satu dan tingkatan satu di seluruh negara tahun ini sehingga berlaku ketiadaseimbangan jumlah kemasukan pelajar di sekolah-sekolah tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, PPD dan JPN perlu memastikan keselesaan dan suasana pembelajaran yang kondusif untuk semua pelajar.

Anuar menafikan sesetengah pendapat yang mengatakan bilangan murid dan bilik darjah tidak memberikan sebarang kesan kepada pengajaran.

“Jika terlalu ramai pelajar di dalam kelas, pembelajaran akan terganggu dan akhirnya guru akan luput upaya (burn out) serta munculnya sikap tidak kisah.

“Jika pelajar di dalam kelas lebih 50 orang ia bukan sahaja menyebabkan pembelajaran tidak berkesan dan terganggu malah yang lagi besar adalah murid-murid tidak dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Tambahnya, kawasan petempatan baharu juga merupakan salah satu punca kepada kesesakan sekolah dan kelas.

“Apabila terdapat kawasan petempatan baharu seperti pekan atau bandar kecil tetapi ia tidak mempunyai sekolah di kawasan tersebut. 

“Anak-anak mereka akan di hantar ke kawasan yang sedia ada dan berdekatan dengan rumah. Maka akan berlakunya lambakan pelajar di sekolah tersebut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN