KUALA TERENGGANU: Sebarang aktiviti luar kelas di semua sekolah di Terengganu termasuk merentas desa hanya dibenarkan berlangsung selepas pukul 5 petang.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, semua aktiviti itu hanya dibenarkan berlangsung sekiranya keadaan suhu pada hari tersebut adalah di bawah 35 darjah Celcius.
Menurutnya, keputusan itu diambil untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan murid tidak terjejas berikutan musim cuaca panas dan kering yang masih melanda negara ketika ini.
“Sebelum ini, JPNT telah memberi arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya menangguhkan semua aktiviti luar kelas disebabkan cuaca panas melampau ketika ini.
“Ia selaras garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba.
“Namun, sekiranya aktiviti itu dilakukan selepas pukul 5 petang dan suhu harian adalah di bawah 35 darjah Celcius, maka ia dibolehkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sebelum ini, ramai ibu bapa meluahkan kebimbangan mereka mengenai aktiviti merentas desa kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan anak-anak mereka.
Kebimbangan itu berasas kerana terdapat beberapa kes serangan strok haba pernah berlaku baru-baru ini hingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Mengulas lanjut, Jelani berkata, JPNT sentiasa memantau rapat semua aktiviti yang diadakan pihak sekolah agar selari dengan pekeliling yang dikeluarkan KPM.
“Kita juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa sekiranya ada sekolah yang tidak mematuhi peraturan ini untuk kita menyiasat secara terperinci,” katanya. – UTUSAN










