JERANTUT: Kira-kira 1,000 orang rakyat menyambut keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Tengku Abdullah menyertai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 ketika singgah di Kampung Gintong dekat sini.
Ekspedisi tersebut bermula dari Pekan Riverfront, Pekan pada 3 Mac lalu berakhir hari ini di Kampung Tanjung Gahai, Lipis apabila Tengku Hassanal menaiki menaiki perahu panjang dari Pekan singgah di beberapa kampung di Maran, Bera, Temerloh , Jerantut dan Lipis sejauh kira-kira 400 kilometer.
Dalam perjalanan dengan menggunakan perahu panjang, Tengku Hassanal turut singgah menyantuni rakyat di beberapa kampung tradisional di sepanjang Sungai Pahang dan turut menyaksikan persembahan kesenian rakyat, menikmati makanan tempatan dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.
Sementara itu, ketika singgah di Kampung Gintong dekat sini pada pukul 7 petang semalam, Tengku Hassanal bersama penduduk melakukan aktiviti ‘memadap’ ikan di sebuah petak sawah padi kampung tersebut.
Aktiviti itu menjadi tarikan orang ramai apabila Tengku Hassanal bersama ketua jabatan di sini turun ke sawah sambil ‘menggagau’ dan ‘memadap’ ikan haruan sehingga keseluruhan badan terpalit dengan lumpur yang turut disertai kira-kira 400 orang kanak-kanak dan remaja.
Pada sebelah malam, Tengku Hassanal juga menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, kemudiannya bersama penduduk menikmati makan malam masakan kampung dan menonton wayang pacak Jabatan Penerangan Malaysia di situ.
Penduduk tua Kampung Gintong, Mohd Nasir Jaafar, 83, berkata, lawatan (keberangkatan) Tengku Mahkota Pahang ke situ dapat mengimbau semula aktiviti yang sama dilakukan oleh Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah (1904 – 1974) ke kampung tersebut pada 1954.
“Ketika lawatan almarhum Sultan Abu Bakar usia saya baharu 14 tahun, tetapi masih ‘terbayang’ sambutan besar-besaran yang dilakukan oleh penduduk di sini bermula almarhum turun daripada perahu panjang di jeti kampung ini, kemudiannya berjumpa dengan penduduk.
“Kehadiran Tengku Hassanal ke kampung bersejarah ini cukup signifikan kerana mewariskan aktiviti yang dilakukan oleh pembesar dan kerabat Pahang sebelum ini sekali gus sinonim dengan ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’.
Bagi generasi muda, Ahmad Nazri Zakaria, 42, berkata, kehadiran Tengku Hassanal di situ membolehkan penduduk khususnya golongan remaja dan kanak-kanak mengenali lebih dekat anak raja Pahang itu yang sangat mesra serta mengambil berat hal rakyat seperti ayahandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kehadiran Tengku Hassanal juga telah mengangkat nilai budaya dan kesenian Melayu penduduk sepanjang pesisir Sungai Pahang dan Sungai Jelai yang menjadi acara tradisi setiap kali keberangkatan pembesar istana Pahang,” katanya. – UTUSAN










