KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat berunsur keagamaan dalam media sosial yang semakin berleluasa perlu ditapis dan diteliti sebelum dikongsi agar tidak bertentangan dengan ajaran sebenar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penggunaan media sosial sebagai platform meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan orang ramai adalah baik.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu seimbang dengan penelitian ilmu agar maklumat yang diterima tidak bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kita lihat bahawa perkembangan untuk mendapatkan kefahaman agama semakin tinggi di Malaysia dan itu adalah sesuatu yang baik.
“Namun, perlu berhati-hati dan sekiranya ada kekaburan, maka yang paling terbaik kita merujuk kepada pihak autoriti,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Konvensyen Madani Rakan Siswa Yadim 2024, di sini, hari ini.
Rakan siswa Yadim (RSY) adalah salah satu organisasi Islam yang menumpukan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia bertujuan menyelaraskan kegiatan dakwah agar seiring dengan dasar negara sekali gus menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah.
Konvensyen Madani RSY melatih lebih 200 pelajar dari tiga peringkat institusi iaitu IPT, Politeknik dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan persiapan kemahiran pendakwah.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Yunus berkata, belia pada masa kini adalah pendakwah kepada jalan Allah SWT dan pimpinan negara akan datang.
“Kita mahu belia berlatih untuk menguasai ilmu wahyu. Daripada sekarang, anda perlu menguasai konsep-konsep asas ilmu wahyu itu. Anda juga perlu mendedahkan diri untuk menguasai kebijaksanaan, sebab kalau ada ilmu tanpa kebijaksanaan, ia tidak akan bermanfaat,” katanya. – UTUSAN










