Tekanan kerja, ICT punca guru bersara awal

Tekanan kerja, ICT punca guru bersara awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran sistem pendidikan alaf baharu dalam kalangan lebih 400,000 warga pendidik dan ditambah penerapan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) antara punca guru-guru memilih bersara awal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, tinjauan pihaknya mendapati mereka yang memilih bersara awal adalah kerana tekanan bebanan kerja.

Menurut beliau, perkara itu menjadi masalah yang tidak perlu dinafikan dalam perkembangan teknologi baharu ketika ini.

“Pertama sekarang ini terlalu banyak hal-hal berkaitan pengisian data atas talian yang perlu mereka laksanakan. Kedua, terpaksa memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) orang atasan.

“Ketiga adalah kerana mereka bermasalah dari segi ICT. Kerajaan tidak menyediakan infrastruktur yang benar-benar relevan dengan keperluan guru menjalankan kerja, jadi ditambah pula guru-guru lama tidak ada kemahiran ICT, maka sudah jadi satu tekananan kepada mereka. Keempat adalah kerana tekanan daripada pentadbir dan itu juga menyumbang kepada mereka bersara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas punca 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru diluluskan untuk bersara pilihan sepanjang tahun lalu.

Dalam sidang Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sedikit berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru.

“Dapatan kajian menunjukkan antara faktor guru memilih persaraan awal bersara pilihan ialah kedudukan kewangan stabil, faedah persaraan, masalah kesihatan dan perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan,” katanya, kelmarin.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, walaupun jumlah lebih 6,000 itu dilihat agak kecil, ia adalah satu kerugian kerana mereka yang bersara itu amat berpengalaman dalam mengatasi isu-isu pendidikan serta murid di sekolah.

Oleh itu, katanya, kementerian diharap dapat menangani permasalahan yang timbul kesan daripada ramai guru bersara awal.

“Pertama mesti ada latihan yang mencukupi kepada guru-guru senior. Mereka yang tidak ada kemahiran perlu diberikan kemahiran.

“Kedua, kemudahan ICT itu perlulah (lancar) sebab kadangkala mereka perlu buat pengisian data, tetapi permasalahan sistem itu menyebabkan mereka tertekan.

“Misalnya berkaitan Sistem Pengurusan IDentiti (idMe). Apabila tiba musim guru perlu buat pengisian markah, maka pelbagai masalah timbul. Jadi kita harap apabila sesuatu sistem itu dilancarkan, maka perlu sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penggunaan ICT yang begitu meluas pada ketika ini berkemungkinan menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan sempurna.

“Namun, semua pekerjaan mempunyai tekanan. Pada permulaan menjadi guru sudah mempunyai Indeks Petunjuk Utama (KPI) prestasi pelajar-pelajar dalam kokurikulum dan sebagainya. Jadi perkara ini adalah lumrah apabila mereka menjadi guru,” katanya.

Pada masa sama, Alimuddin berkata, kekosongan ditinggalkan guru bersara awal dilihat sebagai satu kelebihan kepada siswazah kelulusan pendidikan.

Justeru, katanya, mereka seharusnya mengambil peluang ke atas isu berkenaan.

“Ini juga akan memberi peluang kepada graduan universiti yang berminat dalam bidang pendidikan untuk memohon mengisi kekosongan di setiap sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN