Syor MOF kemuka pelan selamatkan St. Regis Langkawi

Syor MOF kemuka pelan selamatkan St. Regis Langkawi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya Kementerian Kewangan mengemukakan pelan penyelamatan komprehensif bagi projek pembangunan hotel St. Regis, Langkawi, atas isu kutipan hasil pajakan tanah yang gagal diselesaikan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelan penyelamatan itu merangkumi penstrukturan semula hutang dan pengurusan perhotelan.

“Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) perlu mengambil tindakan segera bagi memuktamad status tanah supaya perjanjian pajakan dapat diselesaikan sekaligus membolehkan LADA mengutip nilai pajakan RM3.19 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian antara lima syor kepada Kementerian Kewangan dan LADA berhubung kegagalan memuktamad isu kutipan hasil pajakan tanah, bagi projek pembangunan Hotel St. Regis bernilai RM3.19 juta di pulau bebas cukai itu.

Katanya, LADA perlu meningkatkan tahap kompetensi pengurusan projek yang sedang dilaksana supaya dapat disiapkan mengikut garis masa, kualiti dan pulangan.

Katanya, LADA perlu memastikan segala perancangan pembangunan dan promosi pelancongan pada masa akan datang ditadbir urus dengan baik supaya Langkawi kekal menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Kementerian Kewangan perlu lebih efektif memantau dan mengawal selia syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) supaya tidak berlaku kecuaian yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan selain mampu menjana keuntungan,” katanya.

Isu kutipan hasil pajakan tanah projek pembangunan St. Regis (RM3.19 juta) sejak 2018 adalah salah satu daripada dua projek bernilai keseluruhan RM11.49 juta, yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

LADA didapati turut gagal mengutip hasil pajakan bagi satu lagi projek dinamakan Perkampungan Tok Senik Resort, sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.

Terdahulu hari ini, PAC membentang laporan jawatankuasa berhubung pengurusan LADA dan Kementerian Kewangan di Parlimen selepas mengadakan prosiding dua kali pada tahun lalu.

Saksi-saksi prosiding ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan KSP, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.

Laporan penuh prosiding itu dimuatnaik di laman sesawang rasmi PAC bermula hari ini.

PAC dalam enam rumusannya mendapati perjanjian pajakan untuk menyempurnakan hak milik tanah bagi Hotel St. Regis Langkawi antara LADA dengan syarikat pengendali, INR Sdn. Bhd., tidak dapat ditandatangani kerana status tanah yang diperoleh adalah ‘leasehold’.

Sedangkan, katanya, syarat dalam perjanjian pemegang saham menetapkan status tanah perlu berstatus pegangan bebas.

Katanya, disebabkan itu, LADA tidak dapat mengutip nilai pajakan RM660,000 setahun bagi tempoh empat tahun 10 bulan dengan jumlah nilai pajakan sebanyak RM3.19 juta.

“Kementerian Kewangan merancang memulakan proses penjualan Hotel St. Regis Langkawi bagi membantu menyelesaikan hutang INR Sdn. Bhd. kepada Bank Pembangunan. Namun, terdapat kesukaran mendapatkan pembeli berpotensi selagi status tanah masih belum selesai.

“Selain itu, ketidakupayaan INR Sdn. Bhd. melunaskan bayaran ansuran kepada bank selama 24 bulan menyebabkan isu non-performing loan dan ia bertambah kritikal apabila negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, syarikat Maju Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) tidak mengambil tindakan untuk mendaftar pemilikan saham Kampung Tok Senik Resort Sdn. Bhd. sebanyak 30 peratus bersamaan RM8.3 juta kepada LADA.

“Kecuaian LADA membenarkan MHSB mencagarkan tanah kepada Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. (PTSB) mengakibatkan LADA kehilangan pemilikan tanah tersebut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN