PASIR SALAK: Syarikat-syarikat yang terlibat dalam pembinaan dan pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) yakin mampu mendirikan 10,000 stesen tersebut di negara ini menjelang akhir tahun depan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keyakinan itu dinyatakan pihak terlibat dalam pertemuan dengan mereka baru-baru ini.
Menurutnya, ini berikutan terdapat permintaan tinggi terhadap keperluan stesen pengecas tersebut yang mendorong syarikat terlibat lebih berani membina lebih banyak stesen berkenaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Setakat (hari) ini, sudah 2,100 stesen pengecas EV dibina (berbanding 1,500 stesen yang dicatatkan pada Januari lalu), naik banyak (pertambahan stesen) sekarang,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Bandar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun dan Pengerusi Felcra Education Services Sdn Bhd, Ramelle Ashram Ramli.
Tengku Zafrul bagaimanapun memaklumkan mesyuarat berkaitan stesen pengecas itu akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri ini bagi melihat sama ada sasaran 10,000 stesen itu benar-benar mampu dicapai.
Menurutnya, bilangan 10,000 stesen itu adalah sasaran awal yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
Jelasnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan melakukan perancangan rapi untuk meletakkan sasaran baharu jika sasaran 10,000 stesen itu tidak boleh dicapai.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan berdasarkan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke negara Eropah, baru-baru ini, didapati Malaysia masih lagi menjadi tarikan pelaburan daripada aspek kos kerana masih rendah berbanding negara lain.
Jelasnya, ia dibuktikan menerusi misi pelaburan di Jerman awal bulan ini apabila pelabur berminat untuk mengembangkan lagi pelaburan sedia ada di Malaysia dalam sektor teknologi khususnya semikonduktor.
Jelas beliau, Kulim Hi-Tech Park dan Pulau Pinang adalah dua lokasi yang selalu disebut-sebut bagi pelaburan berkenaan dan pelabur tersebut memerlukan lebih kawasan dan infrastruktur untuk memperkembang lagi pelaburan mereka.
“Itulah rasional kenapa kita mahu memulakan Kerian Green Industrial Park (KGIP) kerana fokus kita mahu mewujudkan kawasan ‘Lembah Silikon’ yang meliputi utara Perak, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah,” ujarnya.
Menurutnya, KGIP juga adalah satu daripada tiga fokus utama pembangunan industri di Perak yang mana jika berjaya, ia mampu meningkatkan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) untuk negara dan negeri.
Jelasnya, dua lagi ialah projek Tanjong Malim Autocity bersama syarikat Proton dan Geely, dan Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) yang memberi fokus kepada usaha menaik taraf pelabuhan Lumut menerusi perbincangan dengan pelabur dari Eropah. – UTUSAN










