PETALING JAYA: Sebuah syarikat pembekal gas didenda berjumlah RM350,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu 438,312 kilogram gas petroleum cecair kepada syarikat tidak berlesen, empat tahun lalu.
Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Heng Seng & Company Sdn. Bhd. selepas pengarahnya Tan Kim Soon, 35, yang mewakili syarikat itu mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan yang dikenakan.
Bagi setiap pertuduhan, mahkamah mengenakan denda RM50,000.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, syarikat itu didakwa menjual gas petroleum cecair berjumlah 438,312 kilogram kepada Pure Gas Enterprise yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Syarikat itu yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) selaku pemegang lesen CSA, didakwa menjual barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual dan perbuatan itu melanggar subperaturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Sunway di sini di antara 6 Februari 2020 dan 25 Ogos 2020 mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2 juta manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nurul’Ain Shafie dan Pegawai Pendakwa KPDN, Firdaus Ruslan manakala syarikat itu diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat. – UTUSAN










