LIPIS: Seorang wanita meninggal dunia dan dua cedera dalam kemalangan antara kereta Perodua Myvi dengan lori treler muatan air kotak di Kilometer 30, Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, wanita berkenaan seorang suri rumah, Noor Habibi Hamid, 55, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang menumpang kereta Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada pukul 8.15 pagi.
“Pemandu kereta, Umar Abdul Azizi, 24, beralamat di Pulau Chondong, Kelantan mengalami kecederaan di kepala, manakala seorang penumpang, Nur Amalin Qurratu Aini Naradin, 19, beralamat Tanah Merah, Kelantan mengalami patah lengan kiri, leher bengkak dan luka besar di bahagian kaki kiri.
“Hasil siasatan awal mendapati kereta tersebut yang datang dari arah Lipis menghala Merapoh setiba di tempat kejadian, pemandunya gagal mengawal kenderaan menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya di Ibu pejabat Polis Daerah di sini.
Menurut Azli, kereta yang hilang kawalan itu dipercayai terbabas dan merempuh bahagian tengah sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan kerana pemandunya berhenti rehat.
“Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut, manakala penumpang yang meninggal dunia di tempat kejadian turut dihantar ke hospital sama.
Beliau berkata, pemandu treler berusia 46 tahun beralamat di Kampung Padang Halban, Peringat, Melor, Kelantan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan
“Bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan Covid-19 diperoleh. Kes di siasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










