KLANG: Kegiatan sepasang suami isteri menyewa rumah bagi membungkus pelbagai jenis dadah sejak enam bulan lalu tumpas selepas mereka dicekup polis di sekitar daerah ini, minggu lalu.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu dicekup ketika membuat pembungkusan di kediaman teres berkenaan, kira-kira pukul 2.20 pagi, 29 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah.
Menurutnya, namun pasangan tempatan itu tidak sempat meloloskan diri selepas kawasan berkenaan dikepung sepasukan anggota polis.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua ketulan mampat ganja, 600 paket heroin dan 15 paket syabu yang kesemuanya seberat lebih satu kilogram.
“Selain itu, kita merampas satu penimbang digital, plastik pembungkusan dan sejumlah wang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM60,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Jelas Hoong Fong, siasatan awal pihaknya dua suspek menjadikan rumah sewa itu sebagai lokasi pembungkusan sebelum disyaki mengedar dadah di sekitar Klang.
“Bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara ini dan mereka bergiat aktif selama enam bulan. Saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif dadah dan lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Hoong Fong berkata, pihaknya turut memberkas seorang lelaki disyaki mengedar ectasy bernilai RM229,100 di sebuah hotel di daerah ini, 26 Februari lalu.
“Penahanan ke atas suspek berusia 28 tahun itu menemukan sebanyak 100 paket bahan minuman berisi dadah berkenaan. Serbuk minuman berisi campuran pelbagai dadah itu dipercayai diperoleh dari Ulu Tiram, Johor dan diedar di pusat hiburan,” jelasnya. – UTUSAN










