SOP melombong IAC-REE sudah diluluskan Kabinet

SOP melombong IAC-REE sudah diluluskan Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif melombong unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) sudah pun diluluskan Kabinet tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Perunding Utama Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pe­mulihan Sumber (Pusat SMaR­RT) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, SOP itu dibangunkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) beberapa tahun lalu.

“Bukti kepatuhan SOP ini adalah kejayaan operasi perintis lombong yang dibuat di Kene­ring, Perak.

“Perlombongan IAC-REE akan berjalan rancak bermula tahun ini. Malah tenaga mahir untuk bangunkan lombong ini sudah wujud di pihak kerajaan dan swasta,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Sumber Asli dan Kelesta­rian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan akan me­rang­ka pendekatan penyeluruh bagi memanfaatkan sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) termasuk bagi menarik lebih banyak pemain dalam industri berkenaan.

Nik Nazmi berkata, pendekatan itu akan di­bincangkan oleh pihaknya dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Buat masa ini, China me­nguasai industri ini tetapi ada minat besar dari negara lain seperti Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Australia.

Mengulas lanjut, Badhrulhisham berkata, antara syarat untuk memajukan lombong nadir bumi negara adalah proses perlesenan yang pantas tetapi mengikut SOP ditetapkan.

“Selain itu, pemantauan kepatuhan SOP, tenaga kerja yang relevan, modal yang mencukupi dan kelestarian sumber ini.

“Semua pihak baik daripada pengusaha hingga ke pihak berwajib, perlu bekerjasama erat bagi memastikan Malaysia menjadi salah satu negara pengeluar REE terbesar di rantau ini,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN