KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menganjurkan majlis solat hajat perdana sempena program Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti untuk menuntut bayaran royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, pada 6 April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program itu akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa, solat tarawih, solat hajat berjemaah dan seterusnya ucapan daripada beberapa pemimpin tertinggi parti.
Menurutnya, solat hajat itu adalah antara ikhtiar kerajaan negeri setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
“Ramai juga yang memberi cadangan supaya kita mengadakan solat hajat dan munajat agar urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan.
“Semoga usaha yang dibuat ini membuahkan hasil buat seluruh rakyat Terengganu, apatah lagi dilakukan pada malam 27 Ramadan dan hanya kepada Allah SWT kita berserah (urusan royalti dipermudahkan),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Kemelut mengenai wang royalti masih buntu dengan kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan mempunyai tafsiran serta hujah masing-masing mengenai perkara itu.
Ia menyebabkan hubungan pemimpin antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sedikit ‘panas’ dan renggang dengan saling berbalas kenyataan berhubung wang royalti tersebut.
Mengulas lanjut , Muhammad Khalil berkata, polemik bayaran royalti petroleum masih berterusan dan belum menampakkan jalan penyelesaian terbaik.
Beliau berkata, jawapan yang dituntut tentang sekatan terhadap pemulangan hasil minyak kepada rakyat Terengganu masih samar.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih gagal memberi jawapan tuntas mengenai baki royalti 2023 dan bayaran hasil petroleum untuk tahun 2024.
“Keadaan ini menyebabkan perancangan kerajaan negeri sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 terbantut dan tergendala,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat telah mendesak agar kerajaan negeri melakukan pelbagai tindakan bagi membolehkan wang royalti kembali ke bumi Terengganu.
“Kami tidak berputus asa, sebaliknya akan terus menggandakan usaha melalui pelbagai saluran mengikut lunas undang-undang bagi memastikan royalti petroleum ini dipulangkan kepada rakyat dan negeri Terengganu,” katanya. – UTUSAN










