KENINGAU: Sistem pengurusan perladangan berpusat (CMFS) dijangka mampu meningkatkan pengeluaran padi di kawasan Magatang daripada 2.5 tan metrik kepada lima tan metrik tan setiap hektar.
Program rintis pertama di Sabah itu hasil kerjasama antara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Sabah dengan syarikat swasta Agriculture Chemicals Sdn. Bhd. dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya menyasarkan dengan aplikasi teknologi tersebut, ia bukan hanya mampu meningkatkan purata pengeluaran hasil padi malah, secara tidak langsung ia turut membantu meningkat lagi pendapatan pesawah.
“Keningau merupakan lokasi pertama di Sabah yang akan menggunakan sistem yang akan membantu dalam pemantauan sektor penanaman padi.
“Inovasi CMFS adalah selari dengan hasrat kementerian untuk membudayakan konsep Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (Pintar).
“Kami juga berharap lebih banyak lagi inovasi akan diwujudkan bagi memastikan peningkatan produktiviti dan kelestarian sektor agromakanan negara bergerak seiring dengan keperluan semasa,” katanya semasa pelancaran sistem pengurusan perladangan berpusat di Kampung Magatang, di sini hari ini.
Menurutnya, melalui kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat swasta itu, petani akan diterapkan dengan amalan pertanian tepat di samping mendedahkan mereka dengan teknologi, pengurusan secara agronomi serta pengunaan input yang betul.
Pada majlis itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan itu turut menyampaikan Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST2024) kepada pesawah yang aktif menanam padi.
Bagi BKST fasa dua, PPK Keningau telah menerima RM630,000 melibatkan 1,050 penerima iaitu RM600 untuk seorang pesawah.
Untuk rekod, seramai 2701 petani telah berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan Keningau dan dianggarkan lebih kurang 200 orang petani lagi yang belum berdaftar.
Justeru, beliau menyarankan pesawah, petani dan peladang yang masih lagi belum berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan untuk segera berbuat demikian bagi menikmati pelbagai manfaat sebagai ahli pertubuhan peladang seperti bantuan baja dan subsidi. – UTUSAN










