Rachel tekad tebus kecewa di Sukan Asia

Rachel tekad tebus kecewa di Sukan Asia

AKSI Rachel Yeoh dalam disiplin palang bertingkat acara gimnastik artistik Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Air mata yang mengalir sejurus berakhir final palang bertingkat wanita Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak mematahkan semangat Rachel Yeoh, sebaliknya menjadi pembakar tekad gimnas negara itu untuk kembali lebih kuat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya September ini.

Rachel, 27, yang terlepas pingat gangsa hanya dengan perbezaan 0.133 mata, mengakui sukar menerima hakikat peluang menghadiahkan pingat kepada negara terlepas dalam jurang yang begitu tipis, namun tetap berbangga kerana sudah memberikan aksi terbaiknya.

Pingat gangsa menjadi milik gimnas Wales Emily Roper yang mencatat 13.666 mata, manakala wakil Australia Kate McDonald meraih emas dengan 14.333 mata dan gimnas Kanada Elsabeth Black membawa pulang perak selepas mengumpul 13.900 mata.

Menurut Rachel, dia memasuki gelanggang dengan persiapan rapi dan hanya mahu memberikan segala-galanya buat negara, namun akur keputusan akhir tidak memihak kepadanya.

“Bagi saya memang rasa sangat terkilan kerana perbezaannya terlalu kecil. Hanya 0.1 mata sahaja menyebabkan pingat itu terlepas. Bagaimanapun, saya sudah memberikan yang terbaik dan mungkin kali ini bukan rezeki saya.

“Sebelum turun bertanding, saya hanya fikir untuk memberikan yang terbaik demi Malaysia dan diri sendiri. Saya juga sudah membuat persiapan sebaik mungkin, jadi saya hanya mahu menikmati saingan itu. Cuma memang saya amat terkilan kerana peluang tersebut terlepas,” katanya.

Bagaimanapun, kekecewaan itu tidak akan dibiarkan berpanjangan apabila Rachel sudah memasang sasaran baharu dengan meningkatkan tahap kesukaran rutin sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia di Aichi-Nagoya.

“Apabila pulang nanti, saya mahu meningkatkan tahap kesukaran rutin saya tanpa mengira apa juga cabarannya sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia dan kejohanan-kejohanan akan datang. Saya mahu menebus semula apa yang terlepas hari ini,” katanya.

Terdahulu, Rachel menamatkan saingan di tempat keempat selepas mengumpul 13.533 mata, sekali gus terlepas peluang menghadiahkan pingat gimnastik artistik wanita pertama Malaysia di pentas Sukan Komanwel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN