KUALA PILAH: Lebih 20 tahun berdepan pelbagai kisah kehidupan masyarakat melalui bidang guaman membentuk pengalaman calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa dalam memahami cabaran yang dihadapi rakyat.
Pengalaman mengendalikan pelbagai kes sejak 2004 kini menjadi bekalan buat beliau untuk membawa pendekatan khidmat lebih dekat dengan masyarakat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mohd. Kamarul berkata, walaupun kini berehat seketika daripada amalan guaman sepenuh masa selepas menyertai pentadbiran kerajaan, beliau masih mempunyai lesen peguam syarie dan bersedia memberikan nasihat perundangan apabila diperlukan.
“Pengalaman mendengar keluhan dan masalah masyarakat sepanjang berada dalam bidang guaman memberi saya pemahaman bahawa ramai rakyat memerlukan bantuan serta panduan apabila berdepan kesukaran.
“Perjuangan membantu masyarakat tidak seharusnya terhenti dalam bidang perundangan sahaja, sebaliknya perlu diteruskan melalui khidmat yang lebih luas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TURUN PADANG DENGAR MASALAH
Menurut Mohd. Kamarul, pencalonan di DUN Seri Menanti merupakan amanah besar yang diberikan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepemimpinan negeri.
Beliau berkata, sekiranya diberikan mandat, beliau mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa berada dekat dengan masyarakat khususnya golongan warga emas.
Katanya, pengalaman dalam bidang guaman turut membentuk pendekatan beliau ketika berkempen apabila lebih banyak turun padang bertemu penduduk.
“Hasil kunjungan dari rumah ke rumah mendapati sebahagian penduduk terutama warga emas mengharapkan wakil rakyat yang bukan sahaja menyampaikan bantuan, tetapi sentiasa hadir bertanya khabar.

“Antara isu yang dibangkitkan penduduk termasuk masalah rumah uzur, atap bocor dan keperluan asas.
“Terdapat juga warga emas yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan rawatan di hospital serta sokongan komuniti dalam menguruskan kehidupan harian,” katanya.
SKUAD RELAWAN SERI MENANTI
Sehubungan itu, beliau bercadang menubuhkan Skuad Relawan Seri Menanti yang melibatkan pesara tentera, pertubuhan belia dan badan masyarakat.
Katanya, pasukan tersebut akan menjadi penghubung dalam membantu penduduk termasuk menziarahi warga emas, membantu menyelesaikan aduan komuniti serta menggerakkan kerja kesukarelawanan.
“Seri Menanti mempunyai ramai individu yang masih mampu menyumbang tenaga dan pengalaman untuk membantu masyarakat setempat,” ujarnya.
PELANCONGAN BERI LIMPAHAN EKONOMI
Dalam aspek pembangunan ekonomi, Mohd. Kamarul berkata, tanah adat yang banyak terdapat di Seri Menanti perlu dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan masyarakat.
Katanya, aktiviti pertanian perlu diperkasa termasuk menggalakkan penglibatan golongan muda supaya kembali mengusahakan tanah di kampung halaman.
“Ketika turun padang, saya melihat sendiri kejayaan anak muda mengusahakan tanaman cili yang dipasarkan terus kepada restoran dan kedai makan tanpa melalui orang tengah.
“Contoh itu menunjukkan sektor pertanian boleh memberi pulangan sekiranya disokong dengan ekosistem yang sesuai,” katanya.
REKOD CEMERLANG PAKATAN HARAPAN
Mohd. Kamarul berkata, keyakinan PH membawa perancangan pembangunan untuk Seri Menanti berdasarkan pengalaman mentadbir Negeri Sembilan sebelum ini.
Katanya, hampir keseluruhan manifesto yang dijanjikan ketika PH menerajui kerajaan negeri sebelum ini berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pengalaman itu menjadi asas keyakinan bahawa tawaran baharu yang dibawa mampu diteruskan sekiranya PH kembali diberikan mandat,” katanya.

SAINGAN TIGA PENJURU
Mengulas pertandingan tiga penjuru di DUN Seri Menanti, Mohd. Kamarul berkata, kempen berlangsung dalam suasana harmoni walaupun setiap calon mewakili parti berbeza.
Beliau berkata, sentimen agama dan kaum tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan kerana hanya akan memecahbelahkan masyarakat yang telah sekian lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
“Sebaliknya, pembangunan dan kemakmuran perlu dinikmati semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
“Pengundi Seri Menanti diharap dapat memberi peluang kepada PH bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang diteruskan dengan sokongan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan Mohd. Kamarul Arifin berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi dan calon Bersatu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bagi merebut kerusi DUN Seri Menanti.
PROFIL CALON PH DUN SERI MENANTI
Nama: Mohd. Kamarul Arifin Mohd. Wafa
Umur: 46 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Kerjaya: Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Jawatan Politik: AJK Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR- UTUSAN










