PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi peringatan tegas kepada mana-mana individu yang terlibat rasuah sehingga menyebabkan negara kerugian tidak akan terlepas daripada disiasat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM telah merangka tiga strategi utama di bawah Sektor Operasi dan Pencegahan dalam usaha memerangi rasuah membabitkan perolehan awam, penguat kuasa undang-undang dan rasuah-rasuah besar.
Menurut beliau, setiap siasatan di bawah sektor-sektor tersebut perlu memberi kesan dan impak kepada negara kerana rakyat melihat perkara ini.
“Sebab itu, setiap kali operasi yang kita jalankan, kita bukan sahaja tahan mereka terlibat tetapi kesan juga jumlah wang yang boleh kita bawa balik dan juga heret mereka yang bersekongkol dengan pihak berkuasa ini supaya wang ini dapat dikembalikan kepada negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini hari ini.
Azam berkata, SPRM akan menggunakan segala cara di bawah undang-undang untuk membendung penyeludupan dan rasuah.
“Jangan fikir kerana rasuah kamu lakukan beberapa tahun lalu yang kami (SPRM) tidak dapat kesan kamu. Semua wang boleh dikesan, terutamanya dalam era teknologi.
“Saya percaya dengan teknologi yang kita ada sekarang, kita boleh mengesan semua wang yang anda peroleh secara haram,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azam menegaskan, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, siasatan SPRM akan memberi fokus kepada siasatan pegawai penguat kuasa yang menerima rasuah.
“Lima tahun lalu, orang ramai mendengar tentang kes rasuah kecil-kecilan dan saya telah memberi arahan untuk menyiasat rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, terutamanya pegawai penguat kuasa, sama ada mereka terlibat dengan kumpulan atau sindiket. Kita akan fokus kepada kes yang melibatkan kerugian besar negara, tanpa mengira pangkat pegawai berkenaan,” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini SPRM sedang menyiasat beberapa kes berprofil tinggi melibatkan penguat kuasa sehingga berlaku ketirisan bernilai jutaan ringgit.
Ini termasuk penahanan terhadap 34 pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan mengakibatkan kerugian negara sehingga RM2 bilion dalam tempoh dua tahun.
Satu lagi kes melibatkan seorang pegawai kanan polis dan seorang anggota polis yang ditahan reman kerana didakwa menerima rasuah bagi melindungi aktiviti haram seperti perjudian, pelacuran dan gangsterisme di Kuala Lumpur dan wang bernilai RM1.2 juta dirampas.
SPRM turut menahan pengarah Jabatan Kastam di Negeri Sembilan kerana didakwa menerima rasuah RM100,000 daripada sindiket untuk membolehkan mereka menyeludup barangan melalui pintu masuk laut negara.- UTUSAN










