GEORGE TOWN : Segerakan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang telah diluluskan tahun lalu. Itu gesaan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Farmasi, Perkhidmatan Maklumat Ubat dan Racun di Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Sulastri Samsudin.
Menurut Sulastri, ketika ini, pihaknya merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi melibatkan kenaikan 30.6 peratus, iaitu lima kali ganda kenaikan berbanding 6.3 peratus pada tahun 2019.
“Sejumlah 111 kes telah dirujuk ke Pusat Panggilan Pusat Racun Negara sejak 2015 hingga kini dan sepanjang tempoh itu juga, Pusat Racun Negara giat memantau kes pendedahan keracunan berkaitan rokok elektronik dan cecairnya.
“Untuk pengetahuan, terdapat dua fasa menunjukkan peningkatan ketara kes iaitu fasa pertama, peningkatan adalah sebanyak dua kali ganda pada tahun 2020 (13.5 peratus) dan 2021 (19.8 peratus), berbanding 6.3 peratus pada tahun 2019, iaitu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19,” katanya di sini, semalam.
Menurut Sulastri, majoriti kes pada waktu tersebut melibatkan kanak-kanak yang berusia kurang daripada lima tahun.
“Situasi ini boleh dikaitkan dengan kebolehcapaian produk ini oleh kanak-kanak akibat penyimpanan yang tidak selamat. Ini ditambah lagi dengan bentuk pembungkusan produk khususnya cecair rokok elektronik tanpa ciri keselamatan serta kewujudan bahan perisa yang menarik seperti makanan dan gula-gula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sulastri berkata, fasa kedua peningkatan adalah selepas PKP iaitu pada tahun 2022 dan 2023.
“Walaupun pada tahun 2022 mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 18 peratus, tetapi pada tahun 2023, Pusat Racun Negara telah merekodkan panggilan kes pendedahan rokok elektronik yang tertinggi sebanyak 30.6 peratus.
“Pada tahun yang sama juga, nikotin telah dikeluarkan daripada Akta Racun 1952. Fasa ini juga menunjukkan perubahan ‘trend’ daripada kategori umur yang mana lebih ramai remaja berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun mengalami keracunan akibat penggunaan rokok elektronik secara sengaja,” katanya.
Sulastri berkata, lebih 95 peratus kes yang dilaporkan adalah bergejala dan majoriti gejala yang ditunjukkan pesakit konsisten dengan gejala keracunan nikotin seperti muntah yang teruk, mengantuk, cirit birit, sakit perut, pengsan dan sawan.
“Namun terdapat juga pesakit yang menunjukkan gejala yang lebih teruk seperti psikosis, halusinasi, perubahan tingkah laku yang agresif dan disyaki melibatkan penyalahgunaan dadah ke dalam cecair rokok elektronik,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, PRN menggesa agar pelaksanaan kawalan terhadap produk merokok khususnya rokok elektronik disegerakan bagi mengelakkan lebih ramai lagi rakyat khususnya anak-anak muda menjadi mangsa ketagihan dan keracunan nikotin.-UTUSAN










