‘Saya tidak pernah minta MCMC sekat posting sewaktu jadi PM’

‘Saya tidak pernah minta MCMC sekat posting sewaktu jadi PM’

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan tindakan kerajaan yang sering membuat sekatan terhadap beberapa posting di media sosial.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu tidak sama seperti apa yang dilaungkan iaitu kebebasan bersuara yang menjadi antara perjuangan utama Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dulu.

“Mungkin Kerajaan Madani sedar bahawa mereka sedang berhadapan dengan masalah trust deficit rakyat yang kronik. Maka dengan itu mereka cuba mengawal naratif di media sosial. Mereka tidak mahu rakyat mengkritik kerajaan kerana kelemahan-kelemahan mereka sendiri dan menjadikan mereka semakin tidak popular. Kerana itu akhir-akhir ini media sosial dikawal ketat.

“Contohnya, video tik tok Ahli Parlimen Putrajaya mengenai kejatuhan nilai ringgit yang mencapai jutaan tontonan disekat.

“Kenapa harus disekat? Bukankah dahulu merekalah yang paling lantang memperjuangkan kebebasan media? Kononnya mereka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi. Kenapa bila jadi kerajaan, mereka dengan rakusnya menggunakan kuasa untuk menyekat kebebasan? Ternyata, mereka semua hipokrit,” katanya ketika berucap pada majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 di Hotel Sunway Putra, di sini hari ini.

Malah, jelas Muhyiddin lagi, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sewaktu menjadi Perdana Menteri untuk menyekat mana-mana posting masyarakat di media sosial.

“Ketika saya jadi Perdana Menteri, bermacam-macam tohmahan mereka lemparkan terhadap saya dan kerajaan Perikatan Nasional. Tidak pernah sekali pun saya arahkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) atau tik tok sekat video atau posting rakyat di media sosial. Itu prinsip kita dalam mentadbir negara.

“Negara kita ada undang-undang dan kuasa kerajaan dihadkan oleh undang-undang. Kerajaan tak boleh bertindak sesuka hati menyekat hak kebebasan rakyat yang sah, melainkan mereka melakukan kesalahan di sisi undang-undang,” ujarnya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×