Sawah di tengah bandar Cyberjaya

Sawah di tengah bandar Cyberjaya

KAKITANGAN MpSepang menuai hasil tanaman padi menerusi projek tanaman padi di Kebun Bandar @ Cyberjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lazimnya, masyarakat hanya boleh melihat kawasan sawah padi di luar bandar atau pinggir bandar di negeri-negeri yang mengusahakan tanaman itu seperti di Kedah dan Perlis.

Bagaimanapun, tanaman padi juga boleh ditanam di kawasan bandar jika sesuai dengan penjagaan, benih dan cuaca selain penggunaan teknologi moden.

Bagi menyahut cabaran itu, Majlis Perbandaran Sepang (MpSepang) memulakan projek rintis penanaman padi dalam bandar di Kebun Bandar @ Cyberjaya dengan keluasan petak 137.5 meter persegi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua MpSepang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, projek itu diusahakan oleh Jabatan Landskap, MpSepang yang memulakan penanaman sejak 15 Oktober tahun lalu.

“Jenis padi yang digunakan ialah MR297 Siraj dan diusahakan sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan Landskap dengan kemahiran mereka.

“Hasil penanaman padi ini sudah dituai pada Selasa lalu dengan program menuai diadakan secara tradisional menggunakan sabit dan padi dipukul bagi mengeluarkan beras. Ia sekali gus membuktikan projek ini berjaya dilaksanakan di kawasan bandar,” katanya di sini semalam.

Menurut Abd. Hamid, projek penanaman padi Kebun Bandar @ Cyberjaya turut dikelilingi 400 pokok buah-buahan pelbagai spesies di atas tanah seluas 2.8 hektar.

Katanya, tujuan utama pelaksanaan projek ini bagi mewujudkan suasana kampung dan desa di tengah bandar selain memberi pendedahan kepada masyarakat generasi kini tentang suasana sawah bendang.

“Pada masa sama kita mahu mewujudkan rantaian keterjaminan makanan negara supaya lebih banyak kawasan bandar boleh diusahakan dengan pelbagai hasil tanaman pertanian.

“Kita turut merancang menambah plot petak padi kepada empat plot dan ditambah baik dengan sistem pengairan bersepadu supaya penghasilan padi berada pada tahap 80 peratus kemenjadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya