Satwo tampil kelainan - Utusan Malaysia

Satwo tampil kelainan

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2024 - Kumpulan indie-folk Satwo, Rafiz dan Maz pada majlis pelancaran album perdana Di Persembunyian di Muzium Negara. Gambar MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI Kumpulan indie-folk Satwo, Rafiz dan Maz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI pertama menonton persembahan Satwo pada pelancaran album sulung mereka, Di Persembunyian, saya berpandangan band ini berpotensi pergi jauh.

Duo folk pop yang dianggotai Rafiz dan Maz ini membawa kelainan dari segi muzik dan penyampaian. Teknik paduan vokal yang mereka ketengahkan antara keunikan yang tidak ada pada mana-mana band tempatan lain.

Langkah menghasilkan album adalah keputusan bijak diambil Satwo meskipun mereka dikira masih ‘hijau’ dalam arena muzik mainstream tanah air.

Diterbitkan label tersohor, Luncai Emas, album Di Persembunyian boleh dikatakan mampu memberi kefahaman kepada pendengar tentang kenapa Satwo ini berbeza dan berpotensi menyerlah.

MESEJ CINTA

“Album ini seperti antologi kerana setiap lagu memiliki mood dan nuansa berbeza.

“Kami cuba membawa pendengar dalam perjalanan yang tidak terduga,” kata Maz tentang Di Persembunyian.

Kata Rafiz, album berkenaan menyampaikan mesej tentang cinta dan perasaan mudah diterima dan dekat dengan cita rasa pendengar.

“Itulah suasana proses awal penulisan lagu-lagu dalam album ini yang membuatkan kami memilih Di Persembunyian sebagai judul album ini.

“Ia seolah-olah bunyi yang bersembunyi seperti juga perasaan yang bersembunyi

“Lagu-lagu dalam album ini juga ditulis berdasarkan pengalaman peribadi dan orang lain,” kongsinya.

Maz dan Rafiz menimba pengalaman dengan menyanyi dan bermain muzik di sebuah hotel di Kuantan, Pahang sebelum mereka diperkenalkan sebagai Satwo.

Keserasian antara dua bakat ini tidak boleh dinafikan. Bahkan keduanya juga mempunyai kelebihan muzikal masing-masing.

“Kami dipertemukan sebab muzik. Sebab lagu-lagu The Beatles.

“Kemudian kami berlatih dan bermain muzik sama-sama sehinggalah tercipta keharmonian suara dalam persembahan kami,” ujar Rafiz.

BIMBINGAN ‘SIFU’

Dalam kebanyakan artis baru mengidamkan untuk bernaung di bawah Luncai Emas, Satwo dianggap bertuah apabila album sulung mereka diterbitkan syarikat itu.

Mereka juga cukup bernasib baik kerana menerima bimbingan ‘sifu’ Datuk M. Nasir.

“Memang ada sedikit tekanan apabila membawa nama Luncai Emas. Tapi kami jadi diri sendiri dan hanya berikan terbaik.

“Bekerja dengan M. Nasir memang mudah. Tidak kekok apa lagi tertekan,” kata Maz.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN