Salur royalti minyak terus kepada rakyat - Utusan Malaysia

Salur royalti minyak terus kepada rakyat

AZAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu mencadangkan Kerajaan Pusat menyalurkan royalti minyak terus kepada rakyat bermula tahun ini.

Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail berkata, peruntukan tersebut selama ini diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya, namun tidak memberi kesan kepada rakyat di peringkat bawahan.

Menurutnya, keadaan tersebut dapat dilihat apabila dalam tempoh 10 tahun ini didapati indeks kemiskinan negeri Terengganu masih tidak banyak berubah apabila kekal menjadi antara negeri termiskin.

Katanya, beliau percaya rakyat akan mendapat banyak manfaat sekiranya royalti minyak yang berjumlah lebih RM1.5 bilion setahun disalurkan terus kepada mereka.

“Strategi daripada menyerahkan (royalti minyak) kepada pengurusan ataupun pemerintah ataupun pimpinan politik negeri Terengganu perlu ditukar kepada langsung kepada rakyat Terengganu.

“Saya yakin kesan akan jauh berbeza dari segi pengukur keupayaan kewangan, pendapatan isi rumah ataupun garis kemiskinan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Azan berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai masalah untuk menyalurkan royalti minyak terus kepada mereka yang berkelayakan berdasarkan data dimiliki beberapa jabatan dan agensi kerajaan.

“Kerajaan Persekutuan boleh mula menyalurkan royalti minyak kepada rakyat Terengganu dengan dana khas raya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri menggunakan royalti minyak untuk membayar gaji kepada lebih 14,000 kakitangan kerajaan negeri, selain membiayai pembangunan negeri.

“Sepatutnya kerajaan negeri Terengganu perlu ada pendapatan sendiri untuk bayaran gaji dan pembangunan negeri seperti negeri-negeri lain.

“Bagaimanapun, Terengganu saja yang pelik apabila bergantung kepada sumber luar (royalti minyak) untuk membayar gaji ” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya