Rizab negatif RM0.388 bilion, PAC panggil LTAT

Rizab negatif RM0.388 bilion, PAC panggil LTAT

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) selepas mencatatkan rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada 2022 susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), semalam. 

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Radzi telah memberikan taklimat khusus kepada pihaknya berhubung laporan itu dan menyenaraikan tiga agensi yang perlu diberikan perhatian. 

Selain LTAT, beliau berkata, dua lagi agensi adalah melibatkan Felda dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), namun PAC membuat keputusan memanggil LTAT terlebih dahulu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“PAC amat bimbang dengan kedudukan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum. 

“Untuk dua lagi agensi iaitu Felda dan PRIMA, PAC akan membuat keputusan selepas prosiding LTAT,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, prosiding LTAT itu dijangka diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan PAC akan memanggil semua pihak yang berkaitan.

Katanya, ia termasuk tiga  pengurusan tertinggi LTAT yang meletak jawatan iaitu bekas Pengerusi LTAT, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT dan bekas Pengarah Kanan Strategik LTAT.

“Jawatankuasa ini juga tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap LTAT memandangkan isu ini amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum sehingga 13 Mac 2023 yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak enam laporan akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama sidang Parlimen kali ini.

Beliau berkata, ia melibatkan Laporan UiTM Holdings Sdn. Bhd; Laporan Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi; Laporan Program Ramalan dan Amaran Banjir serta Laporan Pengurusan Naik Taraf serta Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah. 

Selain itu, Laporan Tindakan Susulan Pengurusan Wabak Covid-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Personel Protective Equipment (PPE) serta Laporan Tindakan Susulan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara.

“Jawatankuasa ini membentangkan Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal terhadap syor Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei lepas dan Jun hingga September lepas pada 29 Februari 2024.

“Pembentangan semua laporan itu menjadikan jumlah laporan PAC yang dibentangkan adalah sebanyak tujuh laporan iaitu empat laporan PAC dan tiga laporan tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN