Ramai tidak ambil peluang biasiswa sambung sarjana di Jepun

Ramai tidak ambil peluang mohon biasiswa belajar di Jepun

Nurul Syaza Azlisha bersama rakan-rakan pelajar antarabangsa di Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya seorang wakil dari Malaysia menerima tajaan Program Biasiswa Asian Development Bank-Japan (ADB-JSP) 2024 bagi menyambung pengajian peringkat sarjana di negara itu.

Sejak diperkenalkan 36 tahun lalu iaitu pada tahun 1988, seramai 4,260 penerima tajaan biasiswa itu dari 39 negara Asia Pasifik dan sebahagian dari rantau Eropah Timur.

Daripada jumlah itu, hanya 40 orang dari Malaysia mendapat tajaan biasiswa bertaraf antarabangsa itu.

Memberitahu Utusan Malaysia, satu-satunya penerima biasiswa berkenaan pada tahun ini ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Luar Negeri, Nurul Syaza Azlisha berkata, masih ramai rakyat negara ini tidak mengetahui peluang tajaan biasiswa tersebut yang bertujuan menggalakkan pembangunan sumber manusia dalam pelbagai bidang dari rantau Asia Pasifik.

Katanya, pelajar terlibat diberi peluang melanjutkan pengajian pasca siswazah dalam bidang yang relevan dengan keperluan pembangunan negara masing-masing di samping menggalakkan pembangunan kepakaran di rantau ini.

Beliau yang kini dalam tahun pertama mengikuti pengajian Sarjana Dasar Awam (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Kewangan) di University Tokyo berkata, program biasiswa itu merupakan peluang terbaik bagi warganegara Malaysia khususnya Bumiputera untuk menyambung pengajian di luar negara dan pendedahan profesionalisme.

“Saya hanya mengetahui mengenai biasiswa ini melalui carian di Google “Fully funded scholarships abroad” pada pertengahan tahun 2022.

“Calon yang berminat perlu memohon terus ke institusi akademik yang mengambil bahagian dalam program ini dan mengikut prosedur permohonan universiti atau institusi masing-masing dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, China, Hong Kong, Filipina, India, Jepun, Pakistan, Singapura dan Thailand.

“Universiti atau institusi ini akan menamakan calon bagi kelulusan pengurusan ADB-JSP,” katanya di sini semalam.

Menurut Nurul Syaza, tajaan biasiswa ini meliputi yuran pengajian, perbelanjaan sara hidup, buku dan bahan pendidikan lain serta tambang perbelanjaan sekali pergi-balik dari negara asal ke negara pengajian.

Katanya, biasiswa yang ditawarkan adalah pelbagai bidang dan tidak terhad kepada kursus berkaitan ekonomi, pentadbiran awam, pengurusan, kewangan, sains dan teknologi dan kajian alam sekitar.

“Kriteria kelayakan adalah berbeza, bergantung kepada sesuatu program tersebut. Secara amnya, pemohon mestilah seorang warganegara dari negara anggota ADB.

“Calon mesti mempunyai ijazah Sarjana Muda atau yang setaraf dengannya, memiliki rekod akademik dan pengalaman professional yang kukuh serta umur tidak lebih dari 35 tahun semasa permohonan dibuat,” katanya yang pernah bertugas sebagai Diplomat di Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Beliau berkata, proses pemilihan amat kompetitif dan saingan tinggi termasuk penilaian rekod akademik, pengalaman kerja, kualiti kepimpinan dan potensi untuk menyumbang kepada pembangunan di negara asal dan rantau Asia Pasifik.

Katanya, tempoh biasiswa adalah berbeza bergantung kepada program dan tahap pengajian (sarjana atau Doktor Falsafah) dan lazimnya, calon Doktor Falsafah akan dicalonkan oleh universiti secara berasingan meliputi keseluruhan tempoh program akademik.

Beliau berkata, mana-mana penerima biasiswa ini dikehendaki pulang ke negara masing-masing setelah tamat pengajian untuk menyumbang kepada pembangunan negara tanpa ditetapkan sama ada dalam sektor awam, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan selain institusi berkaitan sekurang-kurangnya selama dua tahun.

“ADB-JSP memberikan sokongan berterusan kepada para penerima tajaan selepas pengajian, termasuk peluang rangkaian, akses kepada penempatan pekerjaan dan pembangunan profesional berterusan.

“Walau bagaimanapun, tiada ikatan kontrak dengan ADB-JSP selepas tamat pengajian dan penempatan pekerjaan ADB adalah berdasarkan kekosongan yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN