Ramadhan gembira raikan puasa, Syawal sebagai warganegara

Ramadhan gembira raikan puasa, Syawal sebagai warganegara

MUHAMMAD Ramadhan Abdullah (tiga kiri) menerima sijil kewarganegaraan daripada Saifuddin Nasution Ismail pada program Mekar di Masjid An-Nur, Pokok Sena. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Tiada yang lebih menggembirakan buat seorang pemuda, Muhammad Ramadhan Abdullah pada Ramadan tahun ini apabila mengakhiri penantiannya untuk menjadi warganegara Malaysia sejak lapan tahun lalu. 

Muhammad Ramadhan, 21, berkata, dia hanya mampu menzahirkan rasa syukur terhadap Ilahi, selain berterima kasih kepada kerajaan kerana memudahkan urusannya yang selama ini hanya rasa seperti tidak selamat untuk ke mana-mana.

“Saya anggap inilah hadiah yang paling istimewa ketika bulan Ramadan dan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Saya menerima panggilan telefon pada Jumaat minggu lalu memaklumkan akan menerima sijil warganegara Malaysia.

“Dengan adanya sijil ini saya berasa lebih selamat untuk keluar beraya bersama rakan-rakan berbanding sebelum ini tak berani nak ke mana-mana dengan bebas, nak tunggang motosikal pun rasa takut, selepas dapat Mykad nanti dapatlah saya memohon lesen motosikal,” katanya.

Muhammad Ramadhan antara 12 individu tanpa kerakyatan yang menerima sijil kewarganegaraan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Masjid An-Nur, di sini, semalam.

Sementara itu, ibu saudaranya, Sobihah Mohd. Shapie, 48, berkata, mereka pernah mengemukakan permohonan kewarganegaraan untuk Muhammad Ramadhan pada 2016 namun tidak berjaya.

“Tahun lalu saya memohon sekali lagi dan Alhamdulillah kali ini prosesnya berjalan cepat dan hari ini Muhammad Ramadhan menerimanya daripada menteri. Dapatlah dia menjalani kehidupan sebagai warganegara Malaysia sepenuhnya,” katanya.

Sebanyak 441 program Mekar dianjurkan di seluruh negara dengan 10,842 transaksi diproses sepanjang acara antara Januari dan 15 Mac lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Perkara 19(b) dan Perkara 14(1)(e) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan perlu dikekalkan setelah libat urus secara intensif dilakukan dengan semua pemegang taruh.

“Kita dapati ada kecenderungan yang kuat supaya kedua-dua peraturan berkaitan anak terdampar ini kekal seperti status sekarang iaitu warganegara secara kuatkuasa undang-undang. 

“Permohonan kewarganegaraan membabitkan anak terdampar memerlukan tiga laporan iaitu hospital, doktor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. 

Saifuddin berkata pemohon boleh terus memohon sijil kelahiran yang mengesahkan bayi terbabit sebagai warganegara sekiranya dapat mengemukakan ketiga-tiga laporan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, sekiranya gagal mengemukakan ketiga-tiga laporan berkenaan,  permohonan tidak dapat dilakukan secara kuatkuasa undang-undang dan akan diproses dengan cara pendaftaran. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN