Ramadan: Tiada had waktu operasi kedai makan di Pulau Pinang

Ramadan: Tiada had waktu operasi kedai makan di Pulau Pinang

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) ketika melancarkan kempen Respek Ramadan dan program operasi bersepadu di Masjid Jamek Kampung Rawa, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang tidak akan mengehadkan waktu operasi kedai makan termasuk yang diusahakan oleh peniaga beragama Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, bagaimanapun, peniaga tersebut serta umat Islam di negeri ini khususnya diingatkan agar sentiasa menghormati bulan yang dianggap suci itu.

“Kita tidak hadkan dari segi operasi untuk peniaga (Islam) untuk menjual makanan. Mereka boleh berniaga dari waktu pagi. 

“Namun, dalam konteks menghormati Ramadan, umat Islam tidak dibenarkan makan dan minum di khalayak ramai walaupun tergolong dalam kategori uzur syarie,” katanya selepas melancarkan kempen Respek Ramadan dan program operasi bersepadu di Masjid Jamek Kampung Rawa di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pesalah yang didapati makan dan minum ketika Ramadan semasa pemeriksaan rutin atau apabila mereka menerima sebarang aduan berkaitan.

“Seorang umat Islam itu walaupun dia dalam keadaan uzur syarie, dia masih tidak boleh makan atau minum di khalayak ramai. Jika itu berlaku, dia boleh ditahan disebabkan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996,” katanya.

MOHAMAD ABDUL HAMID

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sebanyak 56 notis telah dikeluarkan sepanjang 37 operasi bersepadu dijalankan pada bulan Ramadan, kira-kira tiga tahun yang lalu.

“Pada tahun 2022 pula, jumlah operasi yang dilaksanakan sebanyak 40 kali manakala jumlah notis yang dikeluarkan 91 notis. 

“Sementara itu, sepanjang Ramadan tahun lepas pula, jumlah operasi yang dilaksanakan adalah sebanyak 27 kali dengan 59 notis dikeluarkan,” katanya.

Mohamad berkata, selain operasi bersepadu, anggota penguatkuasa JHEAIPP juga akan memulakan operasi pemantauan harian bermula 1 Ramadan hingga akhir Ramadan.

“Pegawai-pegawai penguatkuasa (JHEAIPP) akan memantau di setiap daerah pada setiap hari. Mereka juga akan menjalankan serbuan jika menerima laporan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN