'Rakyat tertanya-tanya hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya'

‘Rakyat tertanya-tanya hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya’

Kerajaan Negeri Sabah diminta menjelaskan kepada rakyat berhubung Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya sejak dilancarkan 2021
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah berhubung Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya sejak dilancarkan 2021 apabila disifat gagal menangani masalah kemudahan asas dan isu kemiskinan di seluruh daerah.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, sejak pelan itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mac 2021, rakyat tertanya-tanya kejayaan kerajaan negeri dalam merealisasikan pelan itu.

“Isu kemudahan asas seperti jalan raya tidak diselenggarakan sehingga rakyat mengatakan jalan di ‘bulan’, ada paip tetapi bekalan air bersih tiada dan bekalan elektrik dicatukan.

“Ini belum masuk isu kemiskinan di lapan daerah yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada khamis lalu,” katanya dalam kenyataan.

Suhaimi berkata, kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya ini sering dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri, namun tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Katanya, Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan slogan semata-mata tetapi merupakan satu Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025.

“Pada tahun pertama SMJ telah diperuntukkan RM3.4 billion untuk memacu tiga sektor utama termasuk infrastruktur awam.

“Setiap sektor pertumbuhan telah diperuntukkan dana untuk membiayai pelbagai inisiatif dalam pelbagai elemen SMJ. Bermula 2021, sebanyak 573 inisiatif telah dirangka akan dilaksanakan oleh 11 kementerian dan 21 jabatan serta agensi kerajaan di bawah Jabatan Ketua Menteri.

“Persoalannya, SMJ bukan satu slogan tetapi satu dasar dan perancangan yang disediakan dana tetapi di mana kejayaannya,” soal beliau.

Suhaimi kemudian meminta Ketua Menteri atau menteri yang dipertanggungjawabkan menjalankan Pelan Pembangunan SMJ menjelaskan sejauh mana tahap pengukuran sebagai kejayaan atau majunya sebuah negeri yang mempunyai slogan Sabah Maju Jaya.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menegaskan, kerajaan negeri sepatutnya memfokuskan segala usaha meningkatkan kemudahan asas dan menangani isu kemiskinan lapan daerah di bawah pelan berkenaan.

“Jangan hanya tahu menaikkan papan tanda SMJ di sana sini, sebaliknya kerajaan negeri lebih bertanggungjawab merangka strategi dalam aspek kemajuan ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang merentasi sempadan politik bagi memastikan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN